![]() |
| AKSI yang dipamerkan Cheau Xuen dalam acara Nandao di Gimnasium Nansha semalam. |
SKUAD wusyu negara tampil menghadirkan satu pingat gangsa buat kontinjen Malaysia pada hari pertama Sukan Asia 2010 semalam menerusi Tai Cheau Xuen dalam acara Nanquan dan Nandao wanita di Gimnasium Nansha, Guangzhou.
Namun malang menimpa seorang lagi wakil negara untuk acara itu, Diana Bong Siong Lin yang sekadar menduduki tempat kelima setelah dipotong banyak mata ketika melakukan disiplin Nandao di sebelah pagi.
Jurulatih wusyu negara, Yoong Thong Foong berkata, Malaysia sebenarnya mampu untuk meraih pingat perak dan gangsa dalam acara tersebut jika Diana tidak mencatat mata terlalu rendah dalam disiplin Nandao.
"Diana ditolak banyak mata pada sebelah pagi tetapi ketika melakukan disiplin Nanquan pada sebelah petang, dia mempamerkan persembahan cukup cemerlang sehingga mendapat kutipan mata kedua tertinggi di belakang atlet China.
"Apa pun saya berpuas hati kerana sekurang-kurangnya kita berjaya menyumbang sebutir pingat untuk kontinjen negara pada hari pertama ini," kata Thong Foong.
Cheau Xuen, 19, berjaya meraih pingat gangsa setelah mendapat 18.86 mata (9.24 mata Nandao dan 9.62 mata Nanquan) untuk berada di belakang pemenang pingat emas, Lin Fan dari China (19.8 mata) dan pingat perak, Ivana Ardelia Irmanto dari Indonesia (18.92 mata).
Diana, 25, yang menyumbang satu pingat gangsa pada Sukan Asia 2006 di Doha sekadar mengumpul 18.46 mata hasil kutipan 8.8 mata bagi Nandao dan 9.66 mata untuk Nanquan.
Sementara itu, Ang Eng Chong yang beraksi dalam acara Changquan lelaki sekadar menduduki tempat ketujuh dengan 9.64 mata.
Atlet China, Yuan Xiaochao muncul pemenang pingat emas pertama dengan 9.78 mata, pingat perak milik Ichikizaki Daisuke dari Jepun (9.72) dan gangsa diraih Peyghambari Ehsan dari Iran (9.70).
"Kita memang harap Eng Chong mampu meraih pingat tetapi nampaknya atlet dari Jepun dan Iran telah mempamerkan persembahan lebih baik," jelas Thong Foong.
Kosmo


No comments:
Post a Comment