Tuesday, November 23, 2010

Pencarian pingat bermula


SEGAK... Kontinjen Malaysia melangkah bergaya diketuai pembawa Jalur Gemilang, Koo Kien Keat ketika upacara perbarisan kontinjen pada upacara pembukaan Sukan Asia 2010 di Haixinsha Square, Guangzhou malam tadi.


PEMBURUAN pingat pertama Malaysia pada Sukan Asia Ke-16 bermula hari ini dengan tumpuan diberi kepada acara wusyu dan lumba basikal.

Sebanyak 19 pingat emas ditawarkan pada hari pertama temasya sukan kedua terbesar di dunia itu selepas selesai upacara pembukaan malam tadi.

Tumpuan pastinya terarah kepada pelumba wanita negara, Fatehah Mustafa yang akan beraksi dalam acara akhir 500 meter ujian masa dan dua acara akhir wusyu.


Ang Eng Chong akan turun beraksi dalam acara akhir Taolu lelaki (changquan) dan Diana Bong Siong Lin beraksi dalam acara akhir Taolu wanita (nanquan dan nandao).

Acara lumba basikal trek hari ini menawarkan satu emas manakala wusyu dua emas.
Kolam renang dijangka menjadi ‘lubuk emas’ apabila menawarkan enam pingat emas, namun perenang negara dijangka sukar untuk layak beraksi pada peringkat akhir disebabkan saingan sengit daripada perenang tuan rumah dan Jepun.

Sukan lain yang menawarkan pingat hari ini ialah gimnastik artistik (1), menembak (6), triatlon (1) dan angkat berat (2).

Pada Sukan Asia empat tahun lepas di Doha, Qatar, skuad lumba basikal negara menyumbang satu pingat perak menerusi Josiah Ng dalam acara keirin lelaki.

Acara wusyu pula menyumbangkan satu emas dan dua gangsa menerusi Fong Chai Ying dalam acara Taijijian wanita manakala gangsa diraih oleh Diana Bong (nanquan wanita) dan Ng Shin Yii (taijijian wanita).

No comments:

Post a Comment