![]() |
| R. Puvaneswaran berteriak setelah memastikan pingat emas acara karate Kumite 55kg mengalahkan lawannya dari Arab Saudi pada Sukan Asia XVI di Guangzhou, semalam. |
GUANGZHOU – Sasaran untuk mencapai sembilan pingat emas Sukan Asia XVI diramal hadir dalam acara akhir skuasy berpasukan hari ini, selepas karate berjaya menokok dua lagi butir emas, semalam.
Malaysia kini memerlukan satu sahaja lagi kemenangan emas untuk melengkapkan sasaran di Guangzhou, walaupun jumlah pungutan semalam telah menyamai perolehan emas pada Sukan Asia di Doha 2006.
Hari ke-13 semalam turut menyaksikan kontinjen negara meraih satu pingat perak daripada acara antara regu sepak takraw dan tiga gangsa menerusi karate serta terjun.
Karate membuka tirai sukan tempur dengan cemerlang, apabila Ku Jin Keat meraih emas pertamanya dalam Individu Kata sebelum rakan sepasukan, R. Puvaneswaran menambah pungutan emas kedua dalam pertarungan Kumite 55 kilogram. Karate turut menyumbang gangsa menerusi wakil wanitanya, Lim Lee Lee dalam Individu Kata.
Sepak takraw turut tidak pulang hampa, apabila meraih perak dalam aksi akhir antara regu lelaki, selepas tewas kali kedua kepada Thailand. Regu kita kalah 12-21, 19-21, sekali gus mengulangi pencapaian di Doha 2004.
Acara terjun tidak menghampakan apabila menyumbang dua gangsa menerusi wakil lelaki dan wanitanya, Yeoh Ken Nee dan Cheong Jun Hoong dalam acara 1 meter papan anjal.
Skuasy yang setakat ini beraksi cemerlang menyumbang dua emas dalam acara individu, akan tampil dalam perlawanan akhir berpasukan lelaki dan wanita hari ini, dengan harapan melengkapkan angka keramat 9 emas yang disasarkan.
Pasukan wanita Malaysia yang dianggotai Datuk Nicol David, Low Wee Wern dan Dellia Arnold, akan menentang Hong Kong pada babak akhir selepas menewaskan India 2-0 di separuh akhir.
Pasukan lelaki skuasy juga tidak menghampakan, apabila Mohd. Nafiizwan Mohd. Adnan, Mohamad Azlan Iskandar dan Yuen Chee Wern mengetepikan Hong Kong 2-0 untuk berdepan Pakistan pada perlawanan akhir.
Turut beraksi pada perlawanan akhir hari ini ialah skuad hoki lelaki yang akan berentap menentang Pakistan.
Olahraga turut menyaksikan wakil wanita, Noraseela Mohd. Khalid berjaya menempatkan diri dalam saingan akhir 400 meter berpagar, hari ini. Dia yang akan berlari dalam lorong pertama mencatat 58.28 saat dalam saringan, semalam.
Harapan untuk melihat pingat dalam acara olahraga setakat semalam terus hampa, apabila atlet lompat bergalah wanita kita, Roslinda Samsu gagal melepasi ketinggian 4.15m untuk menduduki tangga kelima. – Utusan


No comments:
Post a Comment