Wednesday, October 27, 2010

5 sukan luar jadi sasaran

KUALA LUMPUR - Lumba basikal, skuasy, boling dan badminton kekal sebagai sandaran utama Malaysia untuk memenuhi sasaran sembilan pingat emas pada Sukan Asia di Guangzhou, bulan depan.
Apa pun, Chef de Mission negara ke Sukan Asia XVI, Datuk Zolkples Embong percaya lima sukan luar sasaran mampu melakar kejutan untuk menghadiahkan emas bonus.

Wusyu, pelayaran, karate, ekuestrian dan sepak takraw adalah lima sukan yang disifatkan Zolkples perlu diberi perhatian pada temasya 12-27 November itu, malah penyertaan juara lompat tinggi Asia, Lee Hup Wei turut menarik tumpuan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu.
Jika sasaran sembilan pingat emas mampu direalisasikan, maka ia akan menjadi pencapaian terbaik negara pada temasya sukan terbesar di Asia itu.

Sasaran tersebut dianggap wajar kerana Malaysia bakal menghantar kontinjen terbesar dalam sejarah penyertaan yang terdiri daripada 465 atlet dan pegawai.
Pencapaian terbaik kontinjen negara sebelum ini adalah memenangi lapan pingat emas pada edisi terakhir Sukan Asia di Doha, empat tahun lalu.
"Berbasikal, skuasy, boling dan badminton adalah sandaran utama kita untuk memenangi emas di Sukan Asia, namun ada beberapa sukan luar sasaran seperti wusyu, pelayaran, karate, sepak takraw dan ekuestrian (dressage) boleh menghadirkan kejutan.

"Malah, kalau Lee Hup Wei mampu melakukan lompatan terbaiknya dengan mencatat ketinggian 2.29 meter, tidak mustahil ada kejutan juga boleh dicatatkan oleh olahraga. Semua boleh terjadi tetapi yang pasti cabaran Sukan Asia jauh berbeza dengan Komanwel,'' kata Zolkples selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus-pengurus pasukan Sukan Asia XVI di Dewan Komanwel, Bukit Jalil semalam.
Wusyu dan pelayaran tidak disandarkan sebarang emas pada temasya Guangzhou, namun memahat nama sebagai penyumbang emas Sukan Asia 2006.

Emas wusyu ketika itu diraih atlet wanitanya, Chai Fong Ying dalam acara taijiquan manakala Rufina Tan melakar kejutan menjuarai perlumbaan optimist wanita.
Karate gagal menghadiahkan sebarang emas pada penampilan terakhir empat tahun lalu, namun sukan ini amat cemerlang pada dua temasya sebelumnya apabila merangkul dua emas pada Sukan Asia 1998 dan Busan 2002.

Malah, di Doha, mereka tetap pulang bersama empat perak serta tiga gangsa.
Kekuatan karate di Guangzhou bakal disandarkan kepada atlet berpengalaman seperti R. Puvaneswaran, Lim Yoke Wai, G. Yamini and Jamalliah Jamaludin, yang kesemuanya pernah merangkul kejuaraan Asia.
Sementara itu, Zolkples turut memberi peringatan kepada sukan yang cemerlang pada Sukan Komanwel agar tidak cepat berpuas hati, contohnya badminton yang menyumbang empat emas di New Delhi tetapi berdepan laluan getir di Guangzhou.

Ujar Zolkples, berjaya memenangi satu emas sudah dianggap pencapaian memuaskan buat badminton kerana mereka bakal menentang jaguh handalan dunia dari China, Indonesia dan Korea Selatan, berbanding Sukan Komanwel yang hanya menampilkan England dan India sebagai pencabar utama.
"Kita tidak boleh mengharapkan badminton untuk mengulangi pencapaian mereka pada Sukan Komanwel, memenangi satu emas sudah keputusan yang baik. Saya harap Datuk Lee Chong Wei akan pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan bersedia untuk memberi persembahan terbaik di China.
"Pada saya, sandaran terbaik emas badminton adalah dalam perseorangan lelaki, iaitu selepas melihat prestasi Chong Wei ketika mengalahkan Lin Dan pada final Terbuka Jepun. Dalam beregu lelaki, biarpun Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menunjukkan prestasi baik di Sukan Komanwel tetapi peluang mereka masih sukar,'' ujar Zolkples.

Menurut beliau, masih ada beberapa sukan yang belum menghantar senarai lengkap atlet dan diberi tempoh sehingga 2 November ini untuk berbuat demikian atau boleh melupakan hasrat beraksi.
Olahraga belum menyerahkan nama atlet bagi kategori B, termasuk pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2006, Noraseela Khalid.

Angkat berat pula masih menanti laporan kesihatan Amirul Hamizan Ibrahim dan Aricco Jumitih, manakala skuad ragbi yang kehilangan lima tonggak akibat kecederaan perlu menunggu keputusan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sama ada masih boleh membuat pertukaran pemain.

Kata Zolkples, penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen pada 3 November ini, serentak dengan penyerahan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kepada pemenang pingat Sukan Komanwel.
Pusat latihan fasa akhir Sukan Asia pula akan diadakan di Bukit Jalil dari 1-4 November ini.



Oleh Norzie Mohd. Khasbi
sukan@yahoo.com.my

No comments:

Post a Comment