
AHMAD SHABERY (tengah) pada majlis penajaan Kejohanan Badminton Remaja Senheng-Samsung di Dewan Datuk Sidek, Kampung Attap semalam.
KETIADAAN pemimpin tertinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Sukan Asia Ke-16 Guangzhou 2010 sama sekali tidak menjejaskan semangat pemain, lapor RADIAH SAORI.
Itu tegas jurulatih negara, Datuk Misbun Sidek yang percaya, pemain-pemain negara termasuk Datuk Lee Chong Wei tetap bersemangat meskipun tanpa kehadiran Presiden BAM, Datuk Nadzmi Salleh di Guangzhou.
Kelmarin, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendesak agar BAM mencontohi pemimpin-pemimpin persatuan sukan lain termasuklah pemimpin Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang datang menyaksikan perlawanan membabitkan pasukan negara dan memberi sokongan serta motivasi kepada atlet kebangsaan.
Kenyataan tersebut hadir selepas Chong Wei tewas kepada jaguh tuan rumah, Lin Dan pada perlawanan akhir Ahad lalu.
Begitupun menurut Misbun, ketiadaan Nadzmi tidak mematahkan semangat Chong Wei dan bukanlah faktor kegagalan pemain No. 1 dunia itu di tangan Lin Dan.
"Kegagalan Chong Wei bukan disebabkan ketiadaan pemimpin tertinggi BAM di Guangzhou," kata Misbun ketika menghadiri majlis sidang akhbar penajaan Kejohanan Badminton Remaja Senheng-Samsung di Kuala Lumpur semalam.
"Chong Wei tetap menunjukkan semangat juang tetapi gagal untuk mengatasi lawan yang sememangnya lebih hebat pada malam itu (Ahad).
"Lagi pula, kita semua tahu Presi- den BAM tidak begitu sihat tetapi sebenarnya terdapat beberapa pegawai BAM lain yang turut hadir memberi semangat kepada pemain kita di Guangzhou."
Sementara itu, Senheng dan Samsung tampil untuk membantu pembangunan sukan badminton negara apabila memperuntukkan sejumlah RM1.1 juta untuk Biasiswa Bakat Badminton Senheng-Samsung buat 10 pemain paling berbakat.
Sepuluh pemain bertuah itu akan dipilih daripada 950 pemain yang menyertai Kejohanan Badminton Remaja Senheng-Samsung pada 3 hingga 5 Disember depan.

No comments:
Post a Comment