Wednesday, November 10, 2010

Jangan terlalu yakin


MISBUN (tiga dari kiri) berlepas bersama Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Zolkples Embong (tiga dari kanan) ke Guangzhou semalam.


BERDASARKAN rekod pertemuan terakhir, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei memiliki sedikit kelebihan berbanding bintang sensasi China, Lin Dan.
Kejayaan pemain berusia 28 tahun itu menumbangkan Lin Dan pada final Terbuka Jepun bulan lalu membuktikan bahawa kedua-dua pemain tersebut sebenarnya tidak mempunyai perbezaan yang ketara daripada segi corak permainan.

Yang pasti, kejayaan dilakarkan Chong Wei itu bakal menjadi tonik terbaik buat dirinya untuk sekali lagi mencatatkan kemenangan ke atas Lin Dan seandainya kedua-dua pemain ditakdirkan melangkah ke final pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China yang bermula secara rasminya Sabtu ini.
Selain gelaran juara Terbuka Jepun, Chong Wei turut tampil dengan prestasi cemerlang apabila menghadiahkan dua pingat emas buat kontinjen Malaysia menerusi acara perseorangan dan berpasukan pada temasya Sukan Komanwel 2010 di India bulan lalu.

Justeru, kontinjen negara yang bertanding pada temasya Sukan Asia kali ini sudah pastinya mengharapkan Chong Wei dapat mene- ruskan rentak kecemerlangannya itu bagi menyumbangkan sekurang-kurangnya sebutir pingat emas buat Malaysia.


Bagimanapun, jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek tidak mahu anak didiknya itu terus dibuai mimpi-mimpi indah dengan kejayaan-kejayaan yang dilakar sebelum ini, sebaliknya mengingatkan Chong Wei agar tidak bersikap terlalu yakin.

"Memang diakui, Chong Wei kini berada pada tahap terbaiknya namun saya mengingatkan dia agar tidak bersikap terlalu yakin kerana ia bakal menjejaskan tumpuannya sekali gus bakal mengundang padah.
"Sekiranya Chong Wei sekali lagi bertemu Lin Dan pada Sukan Asia kali ini, saya pasti dia (Lin Dan) tidak akan memberikan laluan yang mudah kerana dia beraksi di tempat sendiri dan akan tampil dengan aksi yang lebih bertenaga.

"Apa yang saya harapkan, Chong Wei dapat terus fokus daripada satu perlawanan ke satu perlawanan," jelas Misbun ketika ditemui sebelum berlepas ke Guangzhou di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ditanya mengenai peluang Chong Wei untuk mencatatkan kemenangan ke atas Lin Dan sekira- nya kedua-dua pemain tersebut sekali lagi bertemu, Misbun berkata: "Seperti yang saya katakan tadi, Lin Dan tidak akan memberi laluan yang mudah.

"Ini kerana, dia beraksi di tempat sendiri dan pastinya dia tidak mahu mengecewakan seluruh warga China yang sememangnya mahu menyaksikan dia menyumbangkan pingat emas buat negara mereka.
"Begitupun, ia tidak bermakna peluang untuk Chong Wei menang ke atas Lin Dan sudah tertutup kerana berdasarkan corak permainan kedua-dua mereka tidaklah jauh berbeza. Bezanya cuma Chong Wei pegang raket tangan kanan dan Lin Dan pula kiri.

"Bagi saya strategi dan taktikal yang akan digunakan dalam perlawanan nanti bakal menjadi senjata utama dan jika Chong Wei dapat beraksi mengikut segala apa yang telah dirancangkan, saya percaya kemenangan bakal memihak kepadanya." 


Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment