Tuesday, November 2, 2010

Jangan malukan negara - Zolkples


Zolkples Embong beramah mesra dengan atlet-atlet yang mewakili negara ke Sukan Asia XVI Guangzhou pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kapten pasukan di Gimnasium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Beraksi atas Kategori B bukan tiket untuk atlet negara memberikan persembahan 'ala kadar' pada Sukan Asia XVI di Guangzhou 12-27 November ini, sebaliknya mereka diingatkan agar tidak memalukan nama Malaysia dengan menunjukkan persembahan buruk.

Peringatan tersebut dikeluarkan Ketua Kontinjen Sukan Asia, Datuk Zolkples Embong ketika merasmikan perhimpunan atlet fasa akhir di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.

Menurut Zolkples, walaupun Kategori B dibiayai oleh persatuan sukan, namun setiap atlet yang bertanding memikul tanggungjawab yang sama dengan atlet kategori A kerana mereka beraksi atas nama Malaysia.

Malah, tegasnya, kesemua mereka mendapat layanan yang sama dengan atlet lain apabila tiba hari temasya, bermakna apa juga keistimewaan yang diperoleh atlet kategori utama akan turut dinikmati mereka dalam sebarang sukan.

"Perbezaan Kategori A dan B cuma dari segi pembiayaan. Kategori B dibiayai oleh persatuan tetapi mereka tetap mendapat keistimewaan dan layanan yang sama dengan atlet kategori utama apabila tiba di Guangzhou. Justeru, mereka juga bertanggungjawab untuk menjaga nama dan imej negara.

"Saya harap, semua yang bertanding atas Kategori B menunjukkan rasa tanggungjawab kepada negara dan tidak mempamer aksi buruk. Elakkan daripada dibelasah dan berusaha memburu pingat. Bagi sebahagian besar sukan, mereka akan dibayar balik jika berjaya menghadiahkan pingat,'' ujar Zolkples yang juga Ketua Pengarah MSN.

Malah, kata Zolkples, bagi sukan tertentu yang memiliki taraf persaingan yang kompetitif seperti bola sepak Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan membayar balik pembiayaan sekiranya mereka berjaya melayakkan diri ke suku akhir.

Menurut sumber MOM, sukan berpasukan lain seperti ragbi dan kriket yang berdepan cabaran kompetitif di Guangzhou turut akan dibiayai jika layak ke suku akhir manakala untuk olahraga setiap atlet kategori B akan dibiayai jika berjaya layak ke saingan akhir.

Selain bola sepak, ragbi dan kriket (lelaki serta wanita), kabaddi antara sukan berpasukan yang bertanding di bawah kategori B. Sukan lain yang turut memiliki atlet dalam kategori tersebut adalah olahraga, catur, lawan pedang, golf, pelayaran, menembak, pingpong, triatlon dan wusyu.

Sementara itu Naib Presiden MOM, Low Beng Choo menegaskan, Kategori B masih relevan untuk digunakan kerana ia adalah platform terbaik untuk memberi peluang kepada sukan yang tidak begitu cemerlang tetapi mempunyai prospek untuk mendapat pertandingan yang kompetitif.

Kata Beng Choo, adalah tidak adil untuk menyisihkan sukan tersebut semata-mata kerana mereka gagal menunjukkan prestasi yang setanding atlet kategori utama lain memandangkan standard setiap sukan tidak sama.

"Kita kena terus memberi peluang kepada Kategori B kerana bagi sukan tertentu, persaingannya sangat kompetitif jadi mereka memerlukan masa untuk menempatkan diri dalam kelompok terbaik.


Oleh Norzie Mohd. Khasbi
sukan@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment