![]() |
| LEE CHONG WEI |
GUANGZHOU - Bintang badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berada dalam kedudukan janggal sebagai pemain No.1 dunia, apabila tidak menjadi pilihan utama untuk memenangi pingat emas acara itu pada Sukan Asia, yang akan bermula Jumaat ini.
Sebaliknya, pemain penuh karismatik dan lebih dikagumi, Lin Dan, dianggap sebagai pemain terbaik dunia walaupun tidak dalam ranking dunia, apabila dia mengurangkan penampilannya dalam kejohanan Siri Super.
Pemain China yang berusia 27 tahun, setahun lebih muda dari Chong Wei, bersungguh-sungguh mahukan kemenangan di hadapan penyokong sendiri.
Namun, Chong Wei membuktikan keupayaannya pada Terbuka Jepun, apabila menumbangkan musuh ketatnya, yang juga pemenang pingat emas Olimpik Beijing.
Kemenangan itu pasti mendorong Chong Wei untuk beraksi lebih baik dan bersemangat di Guangzhou nanti.
Chong Wei, yang dikenali sebagai pemain lincah, telah bersiap sedia untuk berdepan seteru utamanya itu.
"Saya mungkin akan bertemu Lin Dan lagi pada Sukan Asia. Kemenangan di Tokyo memberikan saya keyakinan.
''Saya harap mampu berusaha kuat untuk menghadapi cabaran ketika menentangnya," ujar Chong Wei.
Namun, sama ada Lin atau Chong Wei, kedua-dua mereka mungkin akan mempamer aksi berbeza pada temasya itu nanti.
Ketika superstar China itu bersemangat mahu menang dan enggan menerima kekalahan, Chong Wei pula lebih bersahaja, walaupun menggalas tekanan dan harapan rakyat Malaysia.
Dalam satu temubual, Chong Wei menjelaskan mental merupakan kelemahannya, berbanding permainannya.
Dia telah merangkul pelbagai kejuaraan, tetapi tidak pada Sukan Asia, apabila tumbang kepada pemain Indonesia, Taufik Hidayat di peringkat separuh akhir, empat tahun lalu di Doha.
Chong Wei kemudiannya kalah kepada Lin Dan pada perlawanan akhir Olimpik Beijing pada 2008. - AFP


No comments:
Post a Comment