Friday, November 12, 2010

Azizul korban pecut berpasukan


Jaguh basikal trek negara, Azizulhasni Awang mengangkat basikalnya, ketika bersiap sedia untuk memulakan latihan Sukan Asia XVI di Guangzhou, semalam.


GUANGZHOU - Jika pingat gangsa pecut berpasukan menjadi pengubat duka Azizulhasni Awang dalam acara keirin Sukan Komanwel Delhi, Sukan Asia pula mungkin memaksanya mengorbankan acara 'penyelamat maruah' itu, akibat kepadatan jadual pertandingan yang dirangka penganjur dikhuatiri melenyapkan harapan Malaysia untuk mengintai emas.

Sebaliknya, jadual yang disifatkan di luar tradisi temasya itu, apabila mempertandingkan acara pecut berpasukan sebagai pembuka tirai pecut lelaki, berkemungkinan besar akan menyaksikan Azizulhasni melepaskan peranannya bersama Josiah Ng dan Mohd. Rizal Tisin.
Sebaliknya, tempatnya ada kemungkinan digantikan dengan pelumba harapan, Edrus Yunus dengan harapan Azizulhasni dapat menumpukan sepenuh perhatian dalam acara pecut dan keirin individu pada temasya Asia yang akan bermula pada 14 November ini (Ahad).
Menurut Azizulhasni, jadual padat sebegitu tidak pernah wujud sebelum ini dan semua acara kelihatan mixed up, menyebabkan perlu ada strategi berkesan untuk menanganinya.

''Saya akan berusaha untuk memenangi pingat emas pada kali ini," katanya yang ditemui Utusan Malaysia selepas berlatih di Velodrom Guangzhou bersama rakan sepasukan, semalam.



Menurut Azizulhasni, dia akan memusat seluruh tumpuan dalam dua acara itu, apatah lagi untuk berdepan dengan saingan pelumba tuan rumah, China yang penampilannya jauh lebih baik berbanding penyertaan mereka pada Sukan Olimpik 2008.

''Pelumba China sudah nampak ada perubahan, malah musuh tradisi Jepun juga perlu diberikan perhatian. Namun, tidak ada tekanan buat saya pada kali ini," ujarnya yang mengakui masih ada perasaan sedih kehilangan pingat emas keirin pada Sukan Komanwel di Delhi, bulan lalu.

Bukan patah hati tetapi penawar yang dicari Azizulhasni ketika berusaha memulihkan semangatnya yang remuk gara-gara, keputusan komisar menafikan haknya selaku juara.
Azizulhasni mengakui, hatinya masih terluka mengenangkan kemenangannya yang lenyap sekelip mata selepas kejuaraannya dibatalkan walaupun berkali-kali memberitahu dirinya ia bukan alasan untuk tidak bangkit dalam acara kegemarannya itu pada Sukan Asia XVI Guangzhou.

''Apa pun, saya sudah pulih walaupun masih sedih, tapi bagus juga pengalaman itu kerana ia akan menjadi motivasi buat saya menghadapi Sukan Asia. Saya terlepas pingat emas di Sukan Komanwel dan berharap mendapat emas di sini (Guangzhou)," katanya.
Azizulhasni merupakan pemenang pingat emas dalam keirin dan pecut 200 meter Kejohanan Trek Asia 2008.

Pada Sukan Olimpik Beijing 2008, dia menghabiskan saingan keirin di tempat kelapan, satu kedudukan paling tinggi yang pernah dicapai oleh pelumba Asia di Olimpik.
Dia juga merupakan juara keseluruhan keirin Piala Dunia 2008-2009 selepas meraih dua pingat emas sepanjang tempoh tersebut, malah dia juga menjadi atlet pertama Malaysia yang memenangi pingat perak pada Kejohanan Dunia UCI di Pruszkow, Poland pada tahun lepas.
Dalam pada itu, Azizulhasni juga turut berkongsi kesedihannya berikutan berita kehilangan legenda pelumba basikal negara, Daud Ibrahim. - Utusan

No comments:

Post a Comment