Kuala Lumpur: Walaupun hakikatnya tiga acara berpasukan iaitu bola sepak, hoki serta sepak takraw gagal memberi keputusan yang diharapkan sejak kebelakangan ini, namun ketiga-tiga acara itu wajar diberi peluang beraksi di Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan.
Bagaimanapun, pengkritik sukan tanah air, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata, peluang yang diberikan itu tidak seharusnya disia-siakan begitu saja atau pendek kata mengulangi persembahan hambar mereka pada kejohanan atau temasya sukan sebelum ini.
Kita tidak boleh menggugurkan sukan ini daripada beraksi di Sukan Asia sebab kalau kita lakukan begitu, ia hanya akan menafikan peluang atlet kita untuk membuktikan kemampuan mereka.
“Kita juga tidak boleh menghukum persatuan kerana keputusan yang hambar.
“Jadi tanyalah kepada diri sendiri adakah sudah cukup sumbangan yang mereka berikan selama ini kepada negara,” katanya semalam.
Hoki menerima kritikan hebat selepas menamatkan saingan di tempat tercorot pada pentas Piala Dunia serta mempamer aksi hambar di Sukan Komanwel yang turut menyaksikan mereka tewas kepada pasukan kerdil, Trinidad & Tobago.
Keputusan itu menyaksikan hoki yang menyasarkan pingat emas Sukan Asia untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik, diletakkan dalam Kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum badan induk itu mempertimbangkan rayuan MHC untuk kembali kepada Kategori A.
Bola sepak serta sepak takraw juga cukup mengecewakan terutama pada temasya Sukan SEA lalu.
Di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee, skuad bola sepak negara gagal mempertahankan pingat emas yang dimenangi dua tahun lalu di Indonesia sementara skuad sepak takraw lebih mengecewakan apabila sekadar meraih satu perak dan satu gangsa.
Namun berbeza dengan bola sepak serta hoki yang diletakkan dalam Kategori B, takraw diletakkan dalam Kategori A.
Oleh Saiful Affendy Sapran, Arena - Harian Metro
No comments:
Post a Comment