Monday, August 18, 2014

Kesediaan Rashid Teruskan Tugas Diharap Hasilkan Emas - Khairy

KOTA BAHARU, 15 Ogos (Bernama) -- Kesediaan Rashid Sidek meneruskan khidmatnya sebagai ketua jurulatih perseorangan negara diharap membolehkan sasaran negara meraih pingat emas acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, tercapai.

Menteri Belia dasn Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata ini kerana kejayaan Datuk Lee Chong Wei banyak bergantung kepada Rashid sebagai jurulatihnya.

"Saya telah bercakap dengan beliau (Rashid) melalui telefon, yang ada sebut akan berkhidmat sehingga kontrak tamat akhir tahun ini," kata Khairy kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kota Baharu, Jumaat.

Khairy, yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, mengulas hubungan dingin antara Rashid dengan pucuk pimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dibimbangi boleh menjejaskan persiapan skuad kebangsaan ke kejohanan berkenaan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan hubungan dingin Rashid dengan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff menyebabkan dia (Rasid) diketepikan daripada skuad ke Kejohanan Dunia dari 25 hingga 31 Ogos ini dan tempatnya akan disi oleh jurulatih pelapis, Hendrawan biarpun anak didik jurulatih kelahiran Indonesia itu tiada dalam skuad ke Copenhagen.

"Kita tak nak persiapan dan mental Lee Chong Wei terganggu kerana jurulatih ada masalah. Saya maklumkan kepada Rashid dan Lee Chong Wei sila teruskan latihan," kata Khairy.

Menteri itu telah meminta Timbalan Presiden BAM Datuk Mohamad Norza Zakaria untuk meleraikan kekusutan masalah antara pucuk pimpinan persatuan itu dengan Rashid.

Mengenai Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang meletakkan sasaran suku akhir untuk skuad bola sepak negara sekiranya mahu perbelanjaan mereka ke Sukan Asia di Incheon itu dipulangkan sepenuhnya oleh MOM, Khairy berkata pandangan MOM itu ada rasionalnya untuk mereka berusaha mencapai kejayaan.

"Kalau tidak letak sasaran yang tinggi, pasukan bola sepak merasakan kehadiran di Sukan Asia memadai sekadar penyertaan dan kita kena letak syarat kalau tidak mencapai sasaran, kos untuk sukan ini ditanggung oleh mereka. Ini satu perubahan dan harapan baharu," katanya.

Sukan Asia ke-17 di Incheon akan berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment