Kuala Lumpur: Selepas menjadi bahan pertikaian akhirnya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bersetuju untuk memberikan Kategori A kepada skuad hoki lelaki ke Sukan Asia Incheon bulan depan.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi selepas mendapat reaksi balas daripada ahli jawatankuasa pemilihan badan induk itu mengenai rayuan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Khamis lalu.
“Secara tidak rasmi, hoki akan diberikan Kategori A semula kerana saya mendapat maklum balas majoriti ahli yang menerima permohonan itu. Cuma ada seorang dua yang mahu keputusan itu dikekalkan, tapi saya fikir tiada masalah untuk hoki diberikan Kategori A semula,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Isu skuad hoki turun taraf dibangkitkan oleh Arena Metro minggu lalu apabila MOM membuat keputusan memberikan Kategori B kepada pasukan kendalian Arul Selvaraj berdasarkan prestasi hambar di Sukan Komanwel Glasgow.
Bagaimanapun MHC yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu membuat permohonan secara rasmi agar keputusan itu dikaji semula.
Menurut Kok Chi, perkara ini tidak perlu diperbesarkan kerana ia prosedur biasa dalam menentukan kategori setiap sukan yang bertanding ke temasya sukan besar.
“Sebelum ini, saya juga berpendapat bahawa hoki diletakkan dalam Kategori A, tapi ada pihak yang berpendapat sebaliknya. Dalam membuat keputusan kita menerima pandangan semua pihak jadi saya fikir perkara ini akan selesai.
“Surat penilaian semula sudah dihantar kepada ahli jawatankuasa dan mereka nampaknya bersetuju (hoki diberikan Kategori A). Tapi perkara ini belum rasmi, kami akan mengadakan mesyuarat esok (hari ini),” jelasnya.
Skuad hoki yang mendapat jurulatih baru Arul selepas Muhammad Dhaarma Raj Abdullah direhatkan sementara berikutan masalah dalaman dan prestasi pasukan bakal menggalas misi memburu pingat emas di Sukan Asia untuk layak secara automatik ke Sukan Olimpik Rio 2016.
Pada edisi empat tahun lalu di Guangzhou, skuad hoki meraih perak selepas tewas kepada Pakistan pada final.
Oleh Aziman Rosdi, Arena - Harian Metro
No comments:
Post a Comment