Friday, November 26, 2010

Zol sudah boleh tidur




"SAYA kini berasa lega. Sejak semalam (kelmarin) saya tak boleh tidur."
Demikian pengakuan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Zolkples Embong (gambar) ketika mengulas kejayaan pasukan skuasy wanita negara meraih pingat emas kesembilan pagi semalam.

Selepas berlangsungnya hari ke-12 temasya Sukan Asia 2010 kelmarin, kontinjen Malaysia telah mengumpul lapan pingat emas menerusi Chai Fong Ying (wusyu), Mohd. Azizulhasni Awang (lumba basikal), Alex Liew, Adrian Ang (boling), Datuk Nicol Ann David, Azlan Iskandar (skuasy), Ku Jin Keat dan R. Puvaneswaran (karate).

Semalam, sembilan pingat emas yang menjadi sasaran pada Guangzhou 2010 berjaya dicapai menerusi kejayaan pasukan skuasy wanita negara yang membenam Hong Kong pada aksi final.
Menurut Zolkples, beliau merupakan individu paling gembira setelah sasaran yang ditetapkan Majlis Sukan Negara untuk Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India bulan lalu dan Sukan Asia 2010 berjaya dicapai.
Malah 10 pingat emas yang disasarkan pada Sukan Komanwel berjaya diatasi kontinjen Malaysia apabila membawa pulang 12 pingat emas dari New Delhi.

"Alhamdulillah, kita berjaya menghabiskan tahun 2010 ini dengan kejayaan yang begitu membanggakan pada Sukan Komanwel dan Sukan Asia," ujar Zolkples.
Namun, beliau mengakui sedikit tertekan setelah melihat beberapa acara yang menjadi sasaran utama untuk meraih pingat emas pada Sukan Asia Ke-16 di Guangzhou, China ini menemui kegagalan.

"Apabila Azizulhasni dan rakan-rakannya gagal meraih emas acara pecut berpasukan dan boling wanita individu turut gagal, saya sudah mula berasa bimbang.
"Apa pun acara seperti skuasy dan karate berjaya menampung pingat emas untuk kita akhirnya dapat juga menepati sasaran," jelasnya yang juga Ketua Pengarah Majlis MSN.

No comments:

Post a Comment