SKUAD hoki lelaki negara terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas kecundang 0-2 di tangan Pakistan pada aksi final Sukan Asia 2010 di Stadium Hoki Aoti, Guangzhou semalam.
SKUAD hoki negara terlepas slot secara automatik ke Sukan Olimpik 2012 di London.
Kekalahan 0-2 kepada Pakistan pada aksi final Sukan Asia 2010 petang semalam, sekali gus meranapkan impian skuad kendalian Stephen van Huizen itu mengesahkan tiket ke London lebih awal.
Sebaliknya, Pakistan lebih layak mendapat tiket automatik ke London hasil kejayaan mereka muncul juara pada temasya Sukan Asia kali ini.
Bagaimanapun, kejayaan merangkul pingat perak itu merupakan sejarah buat skuad negara sejak Malaysia mula menyertai acara hoki lelaki pada Sukan Asia 1958 di Tokyo, Jepun.
Pada edisi 2006 di Doha, Qatar, skuad negara sekadar menduduki tangga keenam dan pencapaian terbaik ialah meraih pingat gangsa sebanyak tujuh kali dengan kali terakhir dimenangi pada Sukan Asia 2002 di Busan, Korea Selatan.
Pada aksi final di Stadium Hoki Aoti semalam, rentak barisan pemain negara dilihat serba tidak menjadi sehingga memudahkan tugas Pakistan melakar kemenangan.
Lebih mengecewakan, anak-anak buah Beng Hai turut mensia-siakan peluang tiga pukulan sudut penalti.
Sebaliknya mereka gugup untuk menyempurnakan pukulan tersebut tidak seperti ketika menang 4-3 ke atas India pada aksi separuh akhir Selasa lalu.
"Jelas sekali kekalahan ini amat mengecewakan, bukan sahaja saya, malah seluruh pemain dan pegawai pasukan," kata van Huizen semalam.
"Pemain kelihatan agak gugup di atas padang dan terlalu banyak melakukan kesilapan. Mereka juga banyak mensia-sia peluang jaringan termasuk tiga peluang gol pada sudut penalti.
"Begitupun, saya tetap berbangga dengan pemain kita. Mereka telah mencuba sedaya upaya dan beraksi dengan baik sepanjang kejohanan, jadi kekalahan ini adalah suatu pengajaran berguna kepada mereka."
Kegagalan memenangi pingat emas Sukan Asia 2010 menyaksikan skuad negara kempunan tiket automatik ke Sukan Olimpik 2012 dan terpaksa menempuh pusingan kelayakan yang dijadualkan berlangsung pada Februari 2012 di Kuantan, Pahang.
Begitupun, van Huizen menjelaskan, masih banyak lagi masa untuk pemain negara memperbaiki kualiti dan kemampuan dalam diri mereka sehingga pusingan kelayakan itu dilangsungkan.
"Memang sedih kerana kita bukan saja terlepas pi- ngat emas tetapi juga tiket automatik ke Sukan Olimpik 2012.
"Masih banyak lagi yang perlu kita perbaiki dari segi prestasi dan konsistensi. Selepas ini pemain akan dilepaskan ke kelab masing-masing untuk Liga Hoki Malaysia.
"Jadi kita akan pantau perkembangan semua pemain dalam liga," kata van Huizen.
Biarpun hanya memenangi pingat perak, pencapai- an skuad negara tetap wajar diberi pujian.
"Saya tetap berbangga dengan pemain meskipun hanya memenangi pingat perak. Kejayaan ini kami tujukan kepada semua peminat sukan hoki di Malay- sia," kata van Huizen.
Dalam perlawanan penentuan pingat gangsa, India menewaskan juara bertahan, Korea Selatan 1-0 hasil jaringan Tushar Khandker.
Kosmo
No comments:
Post a Comment