Friday, November 26, 2010

Pakistan halang niat Malaysia sapu bersih

HAJAT Malaysia menyapu bersih empat pingat emas acara skuasy Sukan Asia 2010 tidak kesampaian apabila pasukan lelaki negara tewas 0-2 kepada Pakistan pada final petang semalam.
Pada aksi di Gimnasium Bandar Sukan Asia, Guangzhou itu, pemain ketiga negara, Nafiiz- wan Adnan tidak berpeluang menentang Danish Atlas Khan setelah Ong Beng Hee dan Azlan Iskandar tumbang kepada lawan masing-masing.

Beng Heng yang turun untuk perlawanan pertama, tewas 4-11, 4-11, 7-11 kepada Farhan Mehboob manakala Azlan pula kecundang di tangan Aamir Atlas Khan 12-14, 13-15, 4-11 pada aksi kedua untuk sekadar memberikan pingat perak.

"Saya sangat kecewa kerana pada dua set awal, peluang untuk menang itu ada tetapi semua sudah berlaku.
"Apa pun ini Sukan Asia terakhir saya. Tidak mungkin saya boleh beraksi lagi kerana empat tahun lagi umur sudah 32 tahun," kata Azlan yang berjaya menewaskan Aamir 11-6, 11-7, 11-6 pada final acara indi- vidu lelaki, Ahad lalu.

Selain Azlan, Beng Hee dan Nafiizwan, seorang lagi anggota skuad negara bagi acara berpasukan lelaki ialah Yuen Chee Wern selaku pemain simpanan.
Sementara itu, Beng Hee yang masih dibelenggu masalah keracunan makanan sejak beberapa hari lalu berkata, dia diletakkan selaku pemain pertama semalam kerana percaturan strategi.

"Memang peluang kami 50-50 kerana saya tak berapa sihat lagi. Seandainya saya tewas, kami mengharapkan Azlan menang perlawanan kedua dan Nafiizwan menang perlawanan ketiga.
"Apa pun ketiadaan saya ketika bertemu India dan Hong Kong telah memberi peluang kepada Nafiizwan dan Chee Wern untuk meraih pengalaman," jelas Beng Hee.



Kosmo

No comments:

Post a Comment