|
|
GUANGZHOU - Jika keadaan di Sukan Komanwel New Delhi yang serba kekurangan dan kesukaran mampu diatasi atlet negara dengan menghadirkan pencapaian gemilang 12 pingat emas, Chef de Misson (CDM) Sukan Asia negara, Datuk Zolkples Embong tidak nampak mengapa kegemilangan yang sama tidak boleh hadir di Guangzhou, yang disifatkan cukup sempurna, menakjubkan dan berada dalam keadaan terbaik.
Menurut Zolkples, keadaan di perkampungan atlet dan venue latihan adalah 'kelas pertama', malah tidak keterlaluan untuk mengatakan ia lebih baik daripada kemudahan yang disediakan oleh Beijing ketika menganjurkan Sukan Olimpik 2008.
Jika ada perbandingan dilakukan di antara Sukan Komanwel dan Asia, ia ibarat 'langit dan bumi'. Dengan keadaan cuaca yang bersih, bilik atlet yang amat cantik dan sempurna, selain kemudahan lain yang cukup menyenangkan, tiada masalah luar gelanggang sepatutnya timbul sepanjuang temasya berlangsung 12-27 November ini.
Selain keadaan persekitaraan dan venue, Zolkples turut memuji minat mendalam dan sokongan yang ditunjukkan oleh penduduk setempat terhadap Sukan Asia apabila tiket untuk menonton hampir kesemua sukan laris dijual, sekalipun tidak melibatkan atlet mereka.
"Semua atlet agak terkejut apabila tiba di sini, kemudahan yang disediakan oleh penganjur jauh daripada yang dijangkakan, ia berada dalam standard yang cukup tinggi dan mengagumkan. Mereka sangat seronok sebaik tiba, dan itu adalah 'sambutan selamat datang' yang memang kita perlukan.
"Sejak tiba di sini semalam (kelmarin), setakat ini tiada sebarang rungutan dari atlet, jurulatih atau pegawai diterima.
''Semuanya mengakui bahawa keadaan di perkampungan atlet amat menakjubkan, dengan persekitaran yang bersih, cantik dan kemudahannya yang mencapai standard tinggi.
"Semua atlet sangat berpuas hati dengan fasiliti yang disediakan tuan rumah. Tiada sebarang masalah juga disuarakan mengenai venue latihan, saya rasa keadaan ini akan membantu kita mengharungi persiapan yang lebih sempurna, malah tidak keterlaluan jika saya katakan Guangzhou lebih hebat daripada Sukan Olimpik Beijing," ujar Zolkples selepas mengetuai delegasi Malaysia dalam upacara menaikkan bendera di Perkampungan Atlet, semalam.
Walaupun amat berpuas hati dengan kemudahan dan standard yang ditawarkan oleh Guangzhou, namun Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) itu tetap mengulangi kebimbangannya dengan kemungkinan ada atlet yang cepat berpuas hati, terutama mereka yang mencatat keputusan cemerlang pada Sukan Komanwel, bulan lalu.
Kata Zolkples, beliau berharap atlet yang cemerlang di New Delhi tidak akan mengalami 'kejutan budaya' apabila beraksi di Sukan Asia kerana mereka harus sentiasa ingat, bahawa standard pertandingan di antara kedua-dua temasya sama sekali berbeza.
Cuma, beliau berharap atlet negara memanfaatkan sepenuhnya keadaan baik dan tenang di Guangzhou untuk mencari keputusan terbaik. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment