Thursday, November 11, 2010

Zolkples: Atlet usah terlalu selesa


ZOLKPLES (tiga dari kanan) bersama-sama pegawai kontinjen Malaysia pada Majlis Menaikkan Bendera Malaysia di Perkampungan Atlet Sukan Asia 2010 di Guangzhou, semalam.


KETUA kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010, Datuk Zolkples Embong mengingatkan atlet negara supaya tidak terlalu selesa dengan kemudahan yang serba lengkap pada temasya kali ini.

Sebaliknya Zolkples yang juga Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) mahu mereka semua memberi sepenuh fokus terhadap persiapan untuk menghadapi hari pertandingan masing-masing.

"Semalam (kelmarin) saya telah bermesyuarat dengan empat pengurus pasukan yang sudah berada di sini.
"Jadi kita telah beri peringatan kepada atlet supaya jangan selesa sangat dengan apa yang ada di sini. Apa yang penting, mereka kena beri fokus untuk bertanding, terutama atlet-atlet yang beraksi pada Sukan Komanwel di New Delhi, India bulan lalu. Pasti berasa sedikit kejutan budaya dengan kelengkapan yang cukup lengkap di sini.


"Penginapan okey, makan pun okey. Jadi tiada apa-apa yang boleh dirungut oleh mereka (atlet)," katanya kepada pemberita selepas Majlis Menaikkan Bendera Malaysia di Perkampungan Atlet di sini pagi semalam.
Antara atlet yang terlibat dalam majlis sambutan ketibaan kontinjen Malaysia bersama-sama kontinjen Brunei dan Laos itu ialah atlet dari sukan badminton, lumba basikal dan renang.

Ditanya tentang persiapan China dalam menganjurkan Sukan Asia 2010, Zolkples berkata, ia nampak seperti lebih baik daripada penganjuran Sukan Olimpik 2008 di Beijing.

"Sejak tiba di sini semalam (kelmarin), saya cukup tertarik melihat keindahan bandar Guangzhou, lapangan terbangnya dan juga perkampungan atletnya.

"Nampak mereka sudah lama bersiap sedia untuk mengelolakan temasya ini. Mungkin juga penganjur mahu melakukan yang lebih baik berbanding Sukan Olimpik 2008.

"Tapi masih terlalu awal untuk memberi penilaian menyeluruh kerana hanya satu acara iaitu bola sepak yang baru bermula," tambah Zolkples.

Sukan Asia 2010 hanya akan bermula secara rasmi selepas upacara pembukaan berlangsung malam esok dan akan berakhir pada 27 November depan.


Kosmo

No comments:

Post a Comment