Selepas hampir 24 jam menjejakkan kaki di bandaraya tuan rumah Sukan Asia 2010 ini, Guangzhou nyata memukau mata penulis kerana penganjur nyata bersungguh-sungguh memastikan kejayaan temasya edisi ke-16 ini.
Daripada kemudahan sukan hinggalah kepada tempat penginapan atlit dan media, segala-galanya tampak sudah bersedia mengukir sejarah baru dan kini hanya menanti detik bermula temasya, Jumaat ini.
Walaupun masih belum ramai yang tiba, mereka yang hadir di majlis upacara menaikkan bendera di Perkampungan Atlit di Wilayah Haibang, pagi semalam, tampil dengan wajah bersemangat, yakin dan bersedia.
Ketika Jalur Gemilang dinaikkan dan Negaraku dimainkan, kontinjen yang diketuai Chef de Mission, Datuk Zolkples Embong bersama-sama menyanyikannya dengan penuh bersemangat, malah terpancar keazaman untuk melakukan yang lebih baik walaupun emosi bangga hasil pencapaian di Sukan Komanwel New Delhi masih belum hilang dari dalam jiwa mereka.
Harap-harap rakan atlit lain yang tidak datang ke upacara itu turut dapat merasai semangat yang terpancar semalam walaupun mereka berada jauh di pangkalan penginapan dan latihan masing-masing kerana skuad perahu layar berada lima jam daripada Wilayah Haibang ini.
Skuad bola sepak pula berada di Huadu, kira-kira dua jam perjalanan. Memang Guangzhou begitu luas dan daerah-daerah di dalamnya ibarat negeri-negeri di Malaysia, jadi peminat di tanah air boleh bayangkan bagaimana sukarnya untuk bergerak dari satu venue ke satu venue yang lain.
Namun walaupun terpisah beberapa ratus kilometer di antara satu sama lain, kita berharap semua atlit kita tetap 'dekat' di hati mereka dan terus berada di landasan perjuangan yang sama iaitu memburu kecemerlangan demi mengharumkan nama Malaysia.
B.Harian
No comments:
Post a Comment