Thursday, November 11, 2010

Perlu lebih cemerlang

KETUA jurulatih berbasikal, John Beasley menuntut pencapaian cemerlang dikecapi skuad trek negara di Sukan Asia Guangzhou kerana ia bakal menjadi penanda aras menghadapi kelayakan Sukan Olimpik London 2012 selepas ini.
Ia sama penting dengan sasaran pingat dan pelumba negara mengetahuinya sepanjang latihan tahun ini.

“Mereka memenangi satu emas, satu perak dan satu gangsa di Sukan Komanwel New Delhi bulan lalu. Pada saya cukup memuaskan.
“Tetapi ia belum jaminan ke London. Saya menuntut pencapaian lebih membanggakan lagi di Guangzhou,” katanya.

Bagaimanapun, Beasley bersikap realistik apabila meletakkan sasaran satu emas menerusi dua pelumba utama keirin, Azizulhasni Awang dan Josiah Ng tetapi tidak menolak kejutan mampu dilakukan Rizal Tisin dalam acara pecut.

“Prestasi Rizal yang meraih perak di New Delhi semakin menakjubkan saya. Dia semakin gigih berlatih selepas temasya di New Delhi berakhir, mungkin kerana kecewa selepas gagal mendapatkan emas.

“Semangat dan komitmen tinggi Rizal turut ditunjukkan pelumba lain. “Persaingan di New Delhi sebenarnya bertaraf dunia kerana kehadiran pelumba dari negara kuasa besar basikal antaranya Australia, England, New Zealand dan Kanada.

“Di Sukan Asia boleh saya katakan tarafnya agak rendah dan pencabar terkuat Malaysia adalah tuan rumah, China, Jepun dan Hong Kong.

“Saya harap latihan intensif sepanjang tahun ini melengkapkan persediaan mereka menghadapi apa juga kejohanan,” tegasnya.

Ditanya keadaan venue pertandingan, Beasley berkata, pelumba negara sudah memulakan latihan pertama mereka, kelmarin.

“Trek di venue sama kualitinya dengan venue ketika Sukan Olimpik Beijing. Ia cukup menarik dan digemari pelumba negara.

“Cuaca yang tidak begitu panas turut menyenangkan mereka menjalani latihan serta pecutan di situ.

“Ini memberi sedikit kelebihan kepada kita. Apapun yang penting saya harap pelumba kita menyerlah pada hari perlumbaan kelak,” katanya.

Metro

No comments:

Post a Comment