Thursday, November 11, 2010

Chong Wei diberi sambutan superstar, jadi buruan media


Lee Chong Wei tenang ketika upacara menaikkan bendera Malaysia di Perkampungan Sukan di Guangzhou, semalam.


GUANGZHOU - Jaguh badminton No. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei menerima sambutan superstar, baik daripada media mahu pun peminat tempatan sejak tiba di sini, kelmarin.

Namun jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek yakin keadaan tersebut tidak sama sekali menganggu atau memberi tekanan kepada anak didiknya itu, untuk menghadapi Sukan Asia.

Chong Wei bukan saja 'diburu' atlet negara lain dan peminat tempatan sejak memasuki Perkampungan Sukan, malah dia menjadi tumpuan media tempatan hadir untuk menyaksikan sesi latihan pertama skuad negara di Gimnasium Tianhe, semalam.

Belum sempat media Malaysia menemubual juara All England itu, dia sudah dikeremuni media China. Pastinya, persoalan tentang pertemuannya dengan musuh tradisi dan juara dunia, Lin Dan adalah soalan paling popular ditanya.


Bagi Misbun, dia memberi sepenuh kelonggaran kepada anak didiknya itu untuk melayani wartawan atau peminat, kerana percaya Chong Wei sudah matang untuk menangani situasi tersebut, malah keadaan itu sama sekali tidak akan menjejaskan tumpuannya.

"Sejak kami tiba di sini semalam (kelmarin) Chong Wei sudah dikerumuni bukan saja peminat, malah atlet dari negara lain sepanjang di Perkampungan Sukan. Hari ini, dia kerumuni pula oleh sekumpulan media dari China, itu menunjukkan dia amat popular di sini.

"Bagaimanapun saya tidak nampak perlunya untuk menyekat kebebasan Chong Wei. Saya 'lepaskan' dia kerana saya yakin dia sudah matang untuk menangani semua situasi ini, walaupun kadang kala saya sendiri tidak faham soalan yang ditanya wartawan tempatan kerana mereka bercakap dalam bahasan Mandarin.
"Pada saya, Chong Wei menjadi buruan kerana dia dianggap ikon dalam sukan badminton.

"Keadaan ini boleh menjadi motivasi buatnya untuk memberikan persembahan terbaik di Guangzhou, kerana dia sedar perkembangan prestasinya sentiasa diikuti oleh peminat badminton di seluruh dunia.

"Saya tidak nampak perkara ini memberi masalah kepadanya, kerana semua terpulang bagaimana Chong Wei menangani keadaan, bagaimana dia menjawab soalan yang diutarakan," kata Misbun ketika ditemui selepas tamat sesi latihan persama skuad badminton negara di Gimnasium Tianhe, semalam.

Ditanya bagaimana keadaan pemenang lapan kejuaraan utama dunia itu ketika ini selepas dibelenggu kecederaan belakang beberapa hari selepas tamat Sukan Komanwel, Misbun berkata, semua dalam keadaan yang bagus, malah Chong Wei tidak lagi mengadu terasa sakit sepanjang sesi latihan.

Misbun juga menambah, keadaan cuaca di Guangzhou yang tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu sejuk, membolehkan Chong Wei dan pemain negara yang lain berada dalam keadaan selesa sejak tiba di sini, malah keselesaan itu dapat dilihat pada sesi pertama latihan semalam.

Katanya lagi, peluang menguji gelanggang pertandingan buat kali pertama juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh pemain negara.

Walaupun Malaysia hanya mempunyai masa sejam untuk berlatih di Gimnasium Tianhe, tetapi kita dapat menggunakan kesemua empat gelanggang yang disediakan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment