|
|
MESKIPUN terlepas peluang untuk beraksi pada Sukan Asia Doha, Qatar empat tahun lalu, skuad taekwondo negara mengakui masih mampu mengekalkan momentum cemerlang, lapor SAHLIZAH MOHAMED.
Justeru, sebanyak dua pingat tanpa mengira warna disasarkan menjelang temasya yang sama yang dijadualkan berlangsung secara rasminya di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November ini.
Menurut pengurus pasukan taekwondo ke Sukan Asia 2010, KM Rajenderan, sebagai persediaan, skuad taekwondo telah menyertai dua kejohanan di luar negara selain turut menjalani latihan di Korea Selatan selama dua minggu pada September lalu.
"Mereka telah menyertai dua kejohanan antarabangsa pada tahun ini iaitu di Terbuka India pada September lalu dan Terbuka Korea Selatan pada bulan Julai.
"Selain itu, mereka turut dihantar untuk menjalani latihan di Korea Selatan selama dua minggu sebagai persediaan menghadapi temasya di Guangzhou," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Kejohanan Taekwondo Remaja dan Senior TM (WTF)-NSC-Milo di Bukit Jalil semalam.
Dalam pada itu, salah seorang atlet, Ryan Chong kini berdepan dengan dilema sama ada dibenarkan beraksi atau sebaliknya ekoran mengalami kecederaan di lutut kanan semasa menjalani latihan di Korea.
Skuad taekwondo negara yang akan menggalas cabaran di Guangzhou kelak dibarisi enam atlet iaitu kategori wanita, Elaine Teo (kategori fly bawah 49 kilogram), Nurul Ashfalina Mohd. Johari (fin bawah 46 kg), Nurul Nadia Mahamat (bantam bawah 53 kg).
Bagi kategori lelaki pula terdiri daripada Rus Fredy Petrus Tokan (fly bawah 58 kg), Ryan (bantam bawah 63 kg) dan Mohd. Affifuddin Omar Sidek (bawah 67 kg).
"Tiada keputusan setakat ini berkenaan masalah Ryan dan kami masih menunggu kata putus daripada pegawai perubatan berkenaan perkembangannya pada Jumaat ini," kata Rajenderan
No comments:
Post a Comment