|
CHONG WEI bakal bertemu Chen Jin pada separuh akhir malam ini selepas menewaskan Boonsak Ponsana semalam. |
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei sudah melunaskan dendamnya ke atas Boonsak Ponsana pada suku akhir acara perseorangan lelaki semalam.
Selepas tewas mengejut kepada Boonsak dalam acara berpasukan Sabtu lalu, Chong Wei ternyata berada dalam kelas tersendiri bagi menjinakkan pemain utama Thailand itu.
Pada aksi suku akhir di Gimnasium Tianhe semalam, Chong Wei hanya memerlukan masa 15 minit untuk memenangi set pertama dengan 21-13 dan baki 18 minit lagi untuk mengungguli set kedua dengan kemenangan 21-17.
Ia sekali gus menebus kekalahannya kepada Boonsak 21-9, 10-21, 19-21 ketika Malaysia tewas 2-3 kepada Thailand pada aksi peringkat suku akhir acara berpasukan.
Menurut Chong Wei, dia turun beraksi dengan lebih bersedia dan berhati-hati bagi mengelak kesilapan ketika tewas kepada Boonsak minggu lalu berulang.
"Saya memang sudah tahu cara permainan Boonsak tetapi minggu lalu saya dalam keadaan yang kurang sihat kerana demam. Jadi saya lebih berjaga-jaga kali ini.
"Kemenangan ini telah meningkatkan semula tahap keyakinan saya.
"Lagipun Sukan Asia empat tahun sekali, sudah pasti saya akan cuba melakukan yang terbaik," jelas Chong Wei semalam.
Untuk aksi separuh akhir yang akan berlangsung pukul 7.30 malam ini, Chong Wei bakal berdepan pemain tuan rumah, Chen Jin yang berjaya menundukkan pemain Taiwan, Chou Tien Chen semalam.
"Mungkin dia (Chen Jin) lebih bersemangat selepas menjuarai Kejohanan Dunia tetapi yang lebih penting, diri saya sendiri untuk beraksi lebih baik," kata Chong Wei.
Sementara itu, jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek berkata: "Chong Wei telah mengawal permainan dengan baik sekali.
"Untuk pertemuan dengan Chen Jin, saya anggap 50-50. Harap dia beri yang terbaik nanti."
Di Doha 2006, Chong Wei sekadar meraih pingat gangsa selepas tewas kepada jaguh Indonesia, Taufik Hidayat pada aksi separuh akhir.
Bagaimanapun, pada temasya kali ini, Taufik gagal mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Doha selepas tewas kepada pemain Korea Selatan, Park Sung-hwan 15-21, 16-21 pada suku akhir semalam.
No comments:
Post a Comment