|
REAKSI kecewa Yamini pada majlis penyampaian pingat di Gimnasium Guangdong, Guangzhou semalam. |
SILAP percaturan akhirnya menyebabkan atlet karate negara, G. Yamini terlepas pingat emas pada hari terakhir acara karate semalam.
Yamini beraksi dengan cemerlang dengan mengalahkan Chang Ting dari Taiwan 5-4 pada saingan separuh akhir, sekali gus melangkah ke final acara Kumite bawah 61 kilogram wanita untuk bertemu atlet Jepun, Yu Miyamoto.
Begitupun, atlet berusia 30 tahun itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak setelah kesilapan taktiknya menyebabkan dia tewas 0-7 kepada Miyamoto.
"Sudah pasti saya kecewa kerana ini adalah pelu- ang terbaik saya untuk menyumbang pingat emas kepada negara," kata Yamini semalam.
"Saya telah berusaha sehabis upaya. Selepas berjaya mengalahkan atlet Taiwan pada separuh akhir, semangat dan keyakinan saya mula melonjak- lonjak. Saya yakin saya mampu mencatat kemenangan ke atas atlet Jepun itu dalam final.
"Tetapi dia (Miyamoto) bermain secara bertahan dan tidak banyak menyerang. Jadi ia memaksa saya melakukan serangan ke atasnya sehingga membuka ruang kepadanya untuk menyerang balas. Itulah yang menyebabkan dia berjaya mencuri banyak mata ke atas saya."
Begitupun Yamini menjelaskan, kekalahan itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus berkecimpung dalam sukan karate pada masa depan meskipun ada terlintas di hatinya untuk bersara.
"Memang ada terlintas juga untuk bersara tetapi entahlah, saya akan fikirkan lagi selepas ini.
"Sayang juga mahu meninggalkan sukan ini setelah lama berkecimpung dan banyak menyumbang kejayaan kepada negara.
"Bagaimanapun, saya akan mula memikirkannya semula sebaik pulang ke Malaysia nanti," kata Yamini lagi.
Seorang lagi atlet karate negara, Mohd. Hatta Maha- mut gagal menghadiahkan sebarang pingat kepada negara setelah terkandas pada suku akhir kategori Bawah 84kg lelaki semalam.
Hatta tewas 1-2 kepada atlet Iran, Jasem Vishkaei Modami yang memenangi emas acara tersebut.
Atlet berusia 26 tahun itu juga gagal beraksi pada penentuan pingat gangsa apabila tewas kepada seorang lagi atlet Jordan, Khair Mutasambellah 0-6 dalam saingan repecharge.
Kosmo
No comments:
Post a Comment