|
Amirul Hamizan Ibrahim tidak akan bertanding pada Sukan Asia di Guangzhou, minggu depan selepas kecederaan yang ditanggungnya masih belum pulih sepenuhnya. Malaysia tidak akan menghantar kontinjen angkat berat pada temasya ini. |
KUALA LUMPUR - Malaysia tidak akan mempunyai wakil dalam acara angkat berat pada Sukan Asia Guangzhou yang bermula minggu depan, selepas dua badang negara, Amirul Hamizan Ibrahim dan Aricco Jumitih disahkan tidak bertanding akibat kecederaan.
Atlet berpengalaman, Amirul Hamizan disahkan belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut yang dialami ketika beraksi pada Sukan Komanwel New Delhi bulan lalu manakala bintang muda sedang menyinar, Aricco pula dibelenggu kecederaan belakang.
Ketiadaan dua badang yang menyumbangkan emas pada Sukan Komanwel itu bagaimanapun tidak menjejaskan sasaran dan persiapan kontinjen Malaysia pada Sukan Asia kerana kedua-dua mereka bukan prospek pingat negara.
"Saingan angkat berat Sukan Asia jauh lebih kompetitif daripada Sukan Komanwel, jadi kita tidak pernah meletakkan harapan tinggi untuk memenangi pingat sekalipun jika Amirul Hamizan dan Aricco beraksi. Justeru, ketiadaan mereka tidak menjejaskan sasaran yang ditetapkan Malaysia di Guangzhou.
"Sebenarnya, atlet angkat berat kita memang dipersiapkan untuk menghadapi Sukan Komanwel bukan Sukan Asia, malah standard Sukan SEA juga lebih tinggi dari Komanwel. Dalam kategori yang mereka sertai, ada juara Olimpik dari China, Thailand dan Indonesia,'' kata ketua kontinjen negara ke Sukan Asia, Datuk Zolkples Embong selepas merasmikan Perhimpunan Atlet Fasa Akhir di Gimnasium 2 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, semalam.
Amirul Hamizan, 29, menyumbang emas sulung Malaysia pada Sukan Komanwel XIX menerusi angkatan keseluruhan 257 kilogram dalam kategori 56kg. Ia adalah kejuaraan kedua buat atlet dari Rompin, Pahang itu selepas turut meraih emas di temasya Manchester 2002.
Aricco, 20, pula melakar kejutan terbesar dengan menghadirkan emas tidak diduga dalam kategori 62kg. Dengan angkatan 276kg, atlet kelahiran Sabah itu berjaya menempa nama sebagai penyumbang emas Malaysia di New Delhi.
Sementara itu, pengurus pasukan angkat berat negara, Abdullah Awang berkata, keputusan kedua-dua badang Malaysia untuk menarik diri amat wajar kerana mereka bukan berada dalam posisi untuk menyumbangkan pingat di Guangzhou.
Utusan
No comments:
Post a Comment