Tuesday, November 9, 2010

Sukan Asia sasaran Pandelela


PANDELELA kini memberi tumpuan untuk melakar kejayaan di Sukan Asia 2010.


KEJAYAAN menghadiahkan pingat emas menerusi acara terjun 10 meter platform di Sukan Komanwel, New Delhi bukan lalu terus menjadi peristiwa terindah dalam karier penerjun muda negara, Pandelela Rinong,Lebih manis lagi, Pandelela yang kali pertama beraksi pada temasya tersebut berjaya menamatkan penantian negara untuk meraih emas dalam acara terjun sejak menyertai temasya sukan empat tahun sekali itu pada tahun 1950.

Selain mengutip satu pingat emas, Pandelela turut meraih pingat perak menerusi acara terjun serentak yang menyaksikan dia bergandingan dengan penerjun senior, Leong Mun Yee.

Kini, fokusnya adalah untuk mengulangi kejayaan terindah itu pada Sukna Asia di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November ini.
Di sebalik minatnya yang mendalam dalam sukan terjun, Pandelela, 17, dalam diam-diam sebenarnya memasang impian untuk bertugas di awan biru sebagai pramugari.

“Saya mahu jadi pramugari. Boleh jalan-jalan satu dunia, tetapi sebelum itu, saya mahu pergi melancong di seluruh dunia dan kemudian barulah jadi pramugari. Saya sukakan cabaran.

“Saya sasarkan untuk menjadi pramugari sekurang-kurangnya lima tahun. Selepas itu, barulah saya fikirkan benda lain atau menjadi jurulatih,” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Dengan gelak yang masih bersisa, atlet kelahiran Sarawak ini memberitahu semua impian itu tidak akan berlaku dalam masa terdekat, sebaliknya ia adalah perancangan awal apabila sudah bersara kelak.
Pandelela sudah pun meletakkan sasaran untuk mengundur diri selepas Sukan Olimpik 2016 dan pada ketika itu dia akan berusia 23 tahun.

“Cukuplah setakat itu. Lagipun ramai lagi atlet terjun yang hebat sekarang dan mereka sukar untuk ditewaskan. Saya ingin memberi laluan kepada mereka untuk mengharumkan nama negara,” ujarnya.
Pemenang pingat gangsa Kejuaraan Renang Dunia 2009 di Rom, Itali itu turut berpendapat kemahiran dan cinta terhadap sukan terjun yang ada dalam dirinya sejak berusia 8 tahun itu tidak akan terpadam sampai bila-bila.

Selepas ini, Pandelela masih ada satu lagi tugas untuk disempurnakan. Dia memikul satu tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara pada Sukan Asia di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November ini.
“Saya akan beraksi dalam dua acara iaitu 10 meter platform individu serta berganding dengan Mun Yee dalam acara berpasangan.
“Meskipun ini merupakan penampilan pertama saya di Sukan Asia, saya meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa bagi acara individu dan perak bagi acara berpasangan.”

Sebagai persediaan, Lela dan lapan orang lagi atlet terjun serta jurulatih mereka, Yang Jhu Liang telah berlepas ke Yunnan, China pada 20 Oktober lalu untuk menjalani latihan terakhir selama dua minggu.
Selepas selesai tugas di Sukan Asia dia akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
“Saya berharap untuk mencapai keputusan cemerlang dalam SPM seperti mana yang saya lakukan di kolam renang.”


lapor SAHLIZAH MOHAMED.

No comments:

Post a Comment