DANIEL membantu kuartet lelaki negara memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 4x200 gaya bebas pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou.
BIARPUN menamatkan saingan pada temasya Sukan Asia 2010 tanpa sebarang pingat, skuad renang negara masih tetap berpuas hati.
Ini kerana sebanyak tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan manakala lapan rekod peribadi terbaik berjaya diperbaiki sepanjang enam hari acara renang berlangsung di Pusat Akuatik Aoti, Guangzhou.
“Kita tetap gembira dengan pencapaian ini. Nak menang pingat memang susah kerana standard Sukan Asia cukup tinggi.
“Ramai perenang bertaraf dunia dan yang beraksi pada Sukan Olimpik turut bertanding pada Sukan Asia kali ini termasuklah deretan perenang tuan rumah, China.
“Jadi dengan rekod yang berjaya dipecah dan diperbaiki ini, ditambah pula sembilan acara kita berjaya mara ke final, ia tetap suatu pencapaian yang baik,” kata pengurus skuad renang negara, Mae Chen kepada Kosmo! semalam.
Pada temasya kali ini, skuad renang negara mempertaruhkan 12 perenang dengan diketuai Daniel Bego.
Tiga rekod kebangsaan yang berjaya dipecah ialah menerusi Christina Loh (50 meter kuak dada wanita), Chan Kah Yan (50m kuak lentang wanita) dan kuartet lelaki dalam acara 4x200 gaya bebas.
Kuarter tersebut dianggotai Daniel, Kevin Yeap, Ian James Barr dan Foo Jian Beng.
“Selepas ini, lima daripada 12 atlet yang beraksi di Guangzhou akan menyertai pula Sukan Universiti ASEAN di Thailand pada bulan depan.
“Jadi harap pengalaman beraksi dengan perenang handalan Asia dan dunia di Guangzhou dapat membantu mereka beraksi lebih baik di sana nanti,” tambah Chen.
Lain-lain perenang yang turut beraksi paad Sukan Asia 2010 ialah Leung Chii Lin, Khoo Cai Lin, Chui Lai Kwan, Erika Kong dan Yap See Tuan.
No comments:
Post a Comment