Tuesday, November 23, 2010

Shun Ting-Teck Hua terus mara


AKSI Shun Ting (kiri) dan Teck Hua ketika menentang Kazakhstan pada pusingan kedua acara bola tampar pantai wanita semalam.


GANDINGAN Beh Shun Ting-Luk Teck Hua mara ke peringkat suku akhir acara bola tampar pantai wanita Sukan Asia 2010.
Pada aksi pusingan kedua semalam, Shun Ting-Teck Hua menewaskan gandingan pertama Kazakhstan, Irina Tsimbalova-Tatyna Mashkov dengan 21-19 dan 21-15 dalam tempoh 38 minit.

Irina-Tatyana merupakan naib juara Kejohanan Bola Tampar Asia di Haiku, China Julai lalu di mana Malaysia hanya menamatkan saingan di tempat kesembilan.


"Corak permainan mereka (Shun Ting-Teck Hua) lebih baik hari ini (semalam).
"Ini adalah pencapaian terbaik mereka pada Sukan Asia. Sekiranya berjaya melangkah masuk ke peringkat separuh akhir, ia adalah bonus kepada pemain-pemain kita," kata jurulatih negara, Lim Poh Hong.
Shun Ting-Teck Hua yang diletakkan sebagai pilihan ke-11 akan bertemu gandingan kedua Jepun yang juga pilihan ketiga, Satoko Urata-Takemi Nashibori pada aksi suku akhir.
Menyentuh mengenai pertemuan peringkat suku akhir hari ini, Poh Hong berkata, standard permainan gandingan Jepun itu adalah lebih kurang sama dengan pemain-pemain Malaysia.
"Berdasarkan kepada pertemuan sebelum ini, pemain-pemain Jepun itu mempunyai kelebihan dari segi pertahanan.

"Peluang untuk pemain Malaysia (menang) adalah tinggi sekiranya mereka bermain dengan semangat juang yang tinggi seperti mana yang ditunjukkan hari ini (semalam)," katanya.
Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, Shun Ting yang bergandingan dengan kakak Teck Hua, Luk Teck Eng sekadar menamatkan saingan di tempat ketujuh.

No comments:

Post a Comment