Tuesday, November 23, 2010

Quzandria, Qabil tambah koleksi pingat


QUZANDRIA (kanan) dan Qabil menunjukkan pingat masing-masing selepas beraksi dalam acara Dressage pada Sukan Asia 2010 di Pusat Equestrian Guangzhou semalam.


DUA pingat berjaya diraih dari Pusat Equestrian Guangzhou semalam menerusi equin handalan negara, Quzandria Nur Mahamad Fathil dan abangnya, Qabil Ambak Mahamad Fathil.
Dalam acara Dressage individu itu, Quzandria, 28, berjaya meraih pingat perak bersama kudanya, Handsome setelah mengumpul 71.558 mata manakala Qabil, 30, bersama kudanya, Wup memperoleh 71.195 mata untuk pingat gangsa.

Equin dari Korea Selatan, Hwang Young Shik muncul pemenang pingat emas dengan pungutan 73.134 mata.
Namun nada kecewa diluahkan Quzandria kerana menganggap dia sepatutnya mampu meraih pingat emas berdasarkan persembahan cemerlang pada Pusingan B semalam berbanding ketika Pusingan A, Isnin lalu.
"Salah seorang daripada juri adalah dari Korea Selatan. Saya sudah melakukan satu koreografi paling teknikal tadi (semalam) tetapi jumlah mata diberi kepada equin Korea Selatan itu tetap lebih tinggi.
"Jadi perasaan saya bercampur gembira dan sedih kerana saya dan Qabil menyasarkan emas dan perak. Kami memang sudah cukup bersedia tetapi kita kena akur, ini sukan subjektf," katanya.

Ditanya apakah perasaannya mengatasi Qabil buat pertama kali, Quzandra berkata: "Sejak dulu lagi saya anggap Qabil sebagai pesaing utama tetapi tak jadi masalah pun siapa atasi siapa kerana kami masih dari keluarga yang sama."

Sementara itu, Qabil turut sependapat dengan Quzandria tentang pemberian mata 'berat sebelah' kepada Young Shik.

"Kita dapat lihat, setelah equin Korea Selatan itu mendahului pada Pusingan A Isnin lalu, pengadil terbabit sentiasa memastikan jumlah mata equinnya itu sentiasa tinggi bagi kekal berkedudukan pingat emas.
"Apa pun kita dapat terus mengekalkan rekod cemerlang pada Sukan Asia apabila dua pingat hari ini (semalam) menambah pingat gangsa yang kami menangi dalam acara Dressage berpasukan Ahad lalu," kata Qabil.

No comments:

Post a Comment