CHONG WEI ketuai cabaran negara pada Sukan Asia 2010.
PEMAIN badminton negara harus bersedia dari segi mental dan fizikal bagi merealisasikan sasaran membawa pulang dua pingat emas daripada Sukan Asia yang akan berlangsung secara rasminya di Guangzhou, China pada 12 hingga 27 November ini.
Skuad badminton negara akan diketuai oleh pemain no. 1 dunia, Datuk Lee Chong Wei.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Besar Pahang, Tengku Kamil Ismail Tengku Idris Shah, beliau yakin jika semua pemain negara sudah bersedia sepenuhnya peluang merangkul pingat emas amat cerah.
"Pemain perlu fokus dan terus mengekalkan rentak pada setiap perlawanan kerana pertandingan ini turut disertai lawan yang jauh lebih berkualiti daripada Sukan Komanwel baru-baru ini," katanya di Kuantan, Pahang semalam.
Skuad badminton dijangka berlepas ke Guangzhou hari ini bagi memulakan misi memburu dua pingat emas yang menjadi sasaran BAM.
Pada Sukan Komanwel di New Delhi, India bulan lalu, skuad badminton membawa pulang empat pingat emas.
Misi mereka akan bermula Jumaat ini dan semua pemain sedar saingan kali ini amat tinggi dan mencabar kerana pemain yang beraksi adalah antara yang terbaik di dunia.
Tiga kuasa besar badminton termasuk tuan rumah, China selain Indonesia dan Korea Selatan pastinya memberi saingan yang berbeza berbanding Sukan Komanwel lalu.
Lin Dan pastinya tidak mahu kecundang di hadapan penyokong sendiri walaupun dia menyedari kehadiran Chong Wei mampu menjejaskan misinya.
Lin Dan yang tewas pada perlawanan akhir di Terbuka Jepun kepada Chong Wei baru-baru ini sudah pasti tidak mahu pingat emas acara perseorangan badminton di bawa keluar dari negara tembok besar itu.
Dalam pada itu, Tengku Kamil yakin pe- main perseorangan negara itu sudah bersedia dengan ramuan terbaik daripada jurulatih, Datuk Misbun Sidek selain mampu mengekalkan kecergasan untuk menghampakan Lin Dan.
"Difahamkan, kecederaan yang dialami Chong Wei sudah pulih sepenuhnya tetapi dia perlu lebih berhati-hati agar ia tidak berulang terutama dalam keadaan cuaca di Guangzhou sekarang," katanya.
Oleh ASZAAHARI ALI
sukan@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment