Elaine jadi sandaran ulangi kejutan
GUANGZHOU, China – Skuad gimnastik negara mengharapkan tuah di bumi India berulang kembali pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou.
Pada Sukan Komanwel 2010 di India bulan lepas, skuad gimnastik negara melakukan kejutan apabila menghadiahkan satu pingat emas menerusi Elaine Koon dalam disiplin gelung individu.
Namun pada temasya di Guangzhou ini, harapan sekali lagi diletakkan ke atas Elaine untuk melakukan kejutan biarpun peluang dilihat agak sukar dengan bilangan pingat yang ditawarkan tidak sebanyak temasya di India.
“Saya rasa potensi gimnas kita untuk menghadiahkan pingat termasuk kilauan emas tetap cerah di China,” kata pengurus pasukan Gimnastik negara, Abdul Razak Mat Amin sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bai Yun semalam.
“Kita hanya menghantar empat gimnas sahaja termasuk Elaine (Koon) dan Nur Hidayah (Abdul Wahid) dalam acara gimrama individu keseluruhan.
“Dalam acara ini hanya satu emas saja ditawarkan berbanding setiap emas dalam empat disiplin (aparatus) di Sukan Komanwel India.
“Jadi peluang untuk gimnas kita memenangi emas mungkin sukar tetapi saya tetap yakin Elaine mahupun Hidayah masih ada potensi menyumbang emas seperti di New Delhi,” katanya lagi.
Selain Elaine dan Nur Hidayah yang menjadi sandaran, skuad gimnastik negara juga turut menggalas cabaran dalam acara gimnastik artistik menerusi Lum Wan Fong (lelaki) dan Tracie Ang (wanita).
Namun, bagi Abdul Razak, potensi untuk melihat kilauan pingat emas di gelanggang gimnasium lebih terarah kepada Elaine yang kini sedang menunjukkan peningkatan prestasi sejak menjuarai Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2010 dan terbaru memenangi emas di Sukan Komanwel baru-baru ini.
“Saya berdoa agar Elaine terus mengekalkan konsentrasinya kerana dia ketika ini berada di puncak prestasi selepas menjuarai ASG 2010 dan juga memenangi pingat emas dalam disiplin gelung di Komanwel.
“Cuma saya harapkan dia tidak melakukan banyak kesilapan pada hari pertandingan nanti. Jika semuanya berjalan lancar, tidak mustahil dia mampu menghadiahkan emas di Sukan Asia nanti,” kata Abdul Razak.
Mengenai peluang gimnas negara yang lain, Abdul Razak menambah: “Gimnas negara kita yang lain semuanya berjaya mara ke final pada temaysa Komanwel baru-baru ini. Jadi saya rasa jika mereka semua layak sekali lagi ke final, ia sudah cukup bagus.”
Pada Sukan Asia 2006 di doha, skuad gimnastik negara hanya mampu menyumbang satu pingat perak saja menerusi Ng Shun Wei dalam acara gimnastik artistik.
Daripada SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment