Friday, November 26, 2010

Pandelela, Ken Nee tuai pingat gangsa




DUA lagi pingat gangsa hadir di Pusat Akuatik Aoti, Guangdong semalam menerusi Pandelela Rinong dan Yeoh Ken Nee dalam acara terjun 10 meter platform individu wanita dan lelaki.
Pandelela sekali lagi terpaksa akur kepada kehebatan dua penerjun China, Hu Yadan serta Wang Hao yang masing-masing memenangi emas dan perak dalam acara tersebut.

Skrip yang sama turut dialami penerjun lelaki, Ken Nee yang terpaksa berpuas hati dengan gangsa di belakang atlet tuan rumah, Chong He dan Luo Yutong.

Bagi Pandelela, misinya di Guangzhou telah berakhir dan kini pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) itu mahu membuktikan bahawa dia juga mampu cemerlang dalam bidang akademik apabila menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Sebagaimana saya bersungguh-sungguh ketika latihan dan kejohanan, saya akan buat buat sehabis baik untuk SPM nanti," kata atlet kelahiran Sarawak itu.


Atlet berusia 17 tahun itu mencatat 351.50 mata manakala seorang lagi penerjun negara, Traisy Vivien sekadar menduduki tangga kesembilan.
Berbanding terjunannya bersama Leong Mun Yee yang berjaya menghadiahkan pingat perak Selasa lalu, kali ini Pandelela lebih yakin meskipun mengakui terjunannya pada sesi kelayakan pagi semalam jauh lebih baik.
Mengenai persediaannya ke Sukan Olimpik 2012 di London, Pandelela berkata, dia masih cuba mempraktikkan tahap kesukaran baru sebelum menyertai Kejohanan Dunia 2011.

"Saya baru saja belajar tetapi tidak menggunakannya dalam terjunan hari ini (semalam)," katanya.
Sementara itu, Ken Nee pula hanya mampu mengumpul 439.45 mata untuk sekadar di tempat ketiga manakala seorang lagi penerjun negara, Bryan Nickson Lomas pula di tempat kelima dengan 412.80 mata.

Kosmo

No comments:

Post a Comment