Thursday, November 25, 2010

Ken Nee, Jun Hoong tambah 2 gangsa acara terjun

GUANGZHOU - Selepas mengumpul empat pingat perak pada dua hari pertama acara terjun, penerjun negara memastikan tiada hari tanpa pingat pada Sukan Asia XVI, apabila menokok dua lagi gangsa dalam saingan individu 1 meter papan anjal lelaki dan wanita semalam.

Yeoh Ken Nee menamatkan tiga daripada empat acara yang disertai setakat ini, berakhir dengan memenangi pingat selepas menutup saingan 1m papan anjal di tempat ketiga, di belakang dua penerjun China.
Cheong Jun Hoong pula memahat nama sebagai penerima pingat dalam penampilan pertamanya Sukan Asia, malah dalam satu-satunya acara yang disertai di Guangzhou iaitu 1m papan anjal wanita.


Semalam, Ken Nee berada pada kedudukan perak buat seketika, apabila berada di tangga kedua selepas tamat dua terjunan sebelum menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 391.10 mata, 90.10 mata ditinggalkan di belakang pemenang emas , He Min dari China, manakala seorang lagi penerjun, Qin Kai meraih perak.


Hari ini, dia akan turun dalam acara keempatnya dalam 3m papan anjal individu. Menamatkan saingan pada kedudukan podium bakal menjadikan Ken Nee sebagai satu-satunya penerjun negara yang memenangi pingat dalam semua acara yang disertai. Ken Nee turut meraih perak 3m papan anjal serentak an 10m platform serentak.

"Saya gembira memenangi gangsa tetapi tidak gembira dengan persembahan keseluruhan hari ini. Saya cuba mempraktikan dua terjunan yang baru dipelajari ketika berlatih di Dali (China) tetapi ia tidak menjadi, iaitu pada terjunan keempat dan kelima.

"Mengenai peluang memenangi pingat esok, sukar untuk dijangkakan. Penerjun Jepun sangat bagus dalam acara ini, malah Bryan (Nickson) juga lebih baik daripada saya," kata Kenny.
Seorang lagi penerjun negara, Muhammad Fakrul Md. Zain menutup kempen di tangga kelima dengan 361.35 mata.

Sementara itu, Jun Hoong berjaya mengumpul 271.60 mata untuk mengatasi rakan senegara, Leong Mun Yee, bagi meraih pingat gangsa. Mun Yee pula hanya berpuas hati ditempat keempat dengan 268.20 mata.
Pingat emas dan perak acara ini seperti dijangka dimenangi penerjun tuan rumah, Wu Minxia dan Zheng Shuangxue.

"Saya tidak dapat saya hendak gambarkan kegembiraan saya. Sepanjang pertandingan berlangsung, saya hanya mahu melakukan yang terbaik sahaja tanpa fikirkan saingan kuat dari peserta China.
"Jurulatih pun tidak memberi tekanan kepada saya. Mereka hanya mahu saya lakukan rutin yang biasa saya lakukan," kata pelajar tahun kedua jurusan komunikasi massa di Universiti Putra Malaysia.
Menurut Jun Hoong, sebagai persiapan ke Sukan Asia kali ini, dia menangguhkan pelajaran untuk menjalani latihan bersama-sama skuad terjun negara di Dali, China.

Pencapaian terbaiknya di peringkat antarabangsa ialah memenangi pingat emas acara 10m platform serentak wanita pada Sukan SEA Korat 2007. - Utusan

No comments:

Post a Comment