ZOLKPLES memberi taklimat kepada pemain skuad sepak takraw negara ketika meninjau sesi latihan di Kompleks Sukan MSN, Bukit Jalil semalam.
SEANDAINYA semua pemain memiliki tahap keyakinan yang tinggi, tidak mustahil sekurang-kurangnya satu pingat emas mampu disumbangkan kepada kontinjen Malaysia.
Demikian kata-kata semangat yang diberikan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia 2010, Datuk Zolkples Embong ketika meninjau sesi persiapan skuad sepak takraw negara di Bukit Jalil semalam.
“Masalah utama yang dihadapi pemain-pemain sebelum ini adalah mereka kurang keyakinan diri dan itu membuatkan mereka gagal memberi tumpuan sepenuhnya setiap kali turun beraksi dalam beberapa kejohanan yang disertai.
“Namun, sekiranya mereka memiliki tahap keyakinan yang tinggi, saya percaya skuad takraw negara ketika ini mampu menewaskan mana-mana pasukan sekalipun termasuklah pencabar utama kita, Thailand.
“Justeru, saya berharap pemain- pemain menguatkan semangat dan beraksi dengan satu tekad agar kejayaan menyebelahi kita nanti,” jelas Zolkples yang juga merupakan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN).
Pada temasya yang bakal berlangsung di Guangzhou, China bermula minggu depan itu, skuad sepak takraw negara bakal menyenaraikan 15 pemain bagi mengambil bahagian dalam dua kategori iaitu regu dan berpasukan.
Begitupun, senarai akhir 15 pemain yang bakal menggalas cabaran pada temasya itu nanti hanya akan diketahui esok memandangkan skuad negara ketika ini memiliki 18 pemain yang sedang melalui proses pemilihan.
Dalam pada itu, Zolkples turut memberitahu bahawa acara sepak takraw sememangnya merupakan sukan yang diharapkan mampu menyumbangkan pingat emas pada temasya Sukan Asia nanti.
“Sepak takraw memang tersenarai sebagai prospek pingat emas buat kontinjen Malaysia dan saya percaya sasaran itu mampu direalisasikan memandangkan ketika ini kita memiliki skuad yang mantap berbanding sebelum ini,” katanya.
Ditanya mengenai prestasi ala ‘yoyo’ yang dipamerkan skuad sepak takraw negara dalam beberapa kejohanan sebelum ini termasuk tewas ditangan Korea Selatan pada aksi separuh akhir Piala Raja Thai Julai lalu, Zolkples berkata: “Ia tidak perlu diambil kira.
“Bagi saya, apa yang lebih penting adalah persiapan skuad negara ketika ini dan seperti yang saya katakan, tahap keyakinan yang tinggi merupakan faktor utama jika pemain-pemain mahu melakarkan kejayaan.
“Pemain-pemain tidak perlu memikirkan mengenai prestasi mereka pada kejohanan-kejohanan sebelum ini kerana lebih baik mereka menumpukan perhatian terhadap perjuangan seterusnya,” ujar Zolkples.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad sepak takraw negara memenangi pingat emas pada temasya Sukan Asia adalah di Hiroshima, Jepun pada tahun 1994 dalam acara regu mene- rusi trio yang dibarisi Iskandar Arshad, Ahmad Jais Baha- rom, Malek Shamsudin dan Zabidi Shariff.
Kini, sandaran utama negara bagi menamatkan kemarau 16 tahun memenangi pingat emas sudah pasti terletak di atas bahu regu emas Sukan SEA 2005 di Manila, Filipina iaitu trio Mohd. Normanizam Ahmad, Mohd. Futra Abd. Ghani dan Mohd. Zulkarnain Mohd. Arif.
Oleh HELMI TALKAH
helmi.talkah@kosmo.com.my
No comments:
Post a Comment