| |
| Para peminat menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir hoki Sukan Asia XVI di antara Malaysia dengan Pakistan menerusi skrin yang disediakan di The Curve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, semalam. - UTUSAN/Azrul Edham Aminuddin |
PETALING JAYA - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjanjikan penyertaan skuad hoki negara ke Program Road To London 2012, sekalipun skuad Stephen van Huizen itu terlepas tiket awal ke temasya itu setelah sekadar beroleh perak Sukan Asia XVI Guangzhou, semalam.
Malah, beliau bersedia membantu Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) membida hak tuan rumah pusingan kelayakan hoki Olimpik tahun depan, bagi mencerahkan peluang mereka menebusnya setelah kecundang 2-0 kepada Pakistan dalam perlawanan akhir di padang hoki Aoti.
Skuad negara yang tidak diberikan harapan pada mulanya, mencipta kejutan mara ke perlawanan akhir, malah bertahan tanpa kalah termasuk nyaris menewaskan juara bertahan Korea Selatan di peringkat kumpulan, sehinggalah terpaksa akur dengan jaringan Sohail Abbas dan Rehan Butt pada minit ke-26 dan 38.
Kata Ahmad Shabery: "Saya akan berbincang dengan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk menyenaraikan hoki dalam program London 2012 itu dengan beberapa sukan yang telah sedia ada, kerana kejayaan pasukan sehingga ke tahap yang sebaik ini dan begitu luar biasa, wajar diteruskan.
"Kementerian sanggup menyokong dan membantu pasukan dan PHM termasuk dari segi persediaan ke Sukan Olimpik, selain membolehkan kita menjadi tuan rumah Kelayakan Hoki Olimpik tahun depan," katanya selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir itu menerusi layar gergasi di The Curve, Mutiara Damansara, semalam.
Ahmad Shabery bagaimanapun mengakui kecewa dengan kekalahan anak buah Stephen, apatah lagi selepas kegagalan skuad skuasy lelaki negara, juga kepada Pakistan 2-0 beberapa jam sebelumnya, sekali gus terlepas peluang meraih gelaran berganda dengan skuad wanita.
"Walaupun agak kecewa, saya tetap mengambil dan melihatnya dari sudut positif. Mereka sudah berjuang dengan persembahan terbaik dan atas semangat patriotisme yang tinggi dan kita rakyat Malaysia wajar berterima kasih kepada sumbangan mereka walaupun bukan dengan pingat emas," katanya.
Ahmad Shabery turut berpuas hatinya dengan kejayaan kontinjen negara di bawah pimpinan Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong yang mencapai sasaran awal sembilan emas.
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
No comments:
Post a Comment