DI sebalik keselesaan dinikmati kontinjen negara yang mendiami Perkampungan Atlet menjelang Sukan Asia Guangzhou bermula Jumaat ini, Chef de Mission, Datuk Zolkples memberi amaran agar tidak terlalu terbuai hingga menjejaskan matlamat sebenar mereka.
Amaran itu ditujukan kepada mereka yang baru saja melepasi ujian di Sukan Komanwel New Delhi, apabila berjaya membawa pulang 12 pingat emas, melepasi sasaran awal memperbaiki pencapaian di Kuala Lumpur pada 1998.
Justeru dengan segala kelebihan ditawarkan penganjur wajar dimanfaatkan untuk meningkatkan prestasi dan bukan sebaliknya.
“Dengan segala kemudahan yang ada, jangan sampai terkena kejutan budaya pula di sini,” katanya selepas upacara mengibarkan Jalur Gemilang di Perkampungan Atlet, di sini semalam yang menandakan secara rasminya Malaysia sebagai keluarga Sukan Asia ke-16.
Majlis itu turut dihadiri skuad badminton dan berbasikal yang pada masa sama berusaha memperkemaskan persediaan terakhir mereka beberapa hari menjelang temasya itu. Menurutnya, sudah tiba masanya atlet memberikan persembahan meyakinkan untuk memecah rekod pencapaian lapan pingat emas di Doha empat tahun lalu.
“Masih terlalu awal untuk melihat kekuatan sebenar kontinjen yang bertanding tetapi saya harap kontinjen negara berusaha memberikan yang terbaik pada hari pertandingan,” katanya.
Daripada pemerhatian beliau, Guangzhou dilihat cuba menyaingi Beijing sebagai penganjur terbaik temasya sukan antarabangsa selepas kejayaan Sukan Olimpik 2008 di ibu negara republik itu.
“Semua sudah bersedia dan hanya menunggu hari pertandingan,” katanya.
Metro
No comments:
Post a Comment