Tuesday, November 23, 2010

Alex Liew mengganas lagi


ALEX tampil hebat untuk meraih pingat emas dalam acara All Events semalam.


PEMAIN boling negara, Alex Liew menghadirkan pingat emas keenam buat kontinjen Malaysia pada Sukan Asia Ke-16 Guangzhou 2010 semalam.

Dia mengumpul jumlah jatuhan pin tertinggi All Events selepas berakhirnya acara lima sepasukan lelaki semalam.

Namun, pingat emas berganda yang diharapkan tidak kesampaian apabila Malaysia sekadar meraih pingat perak acara lima sepasukan yang berlangsung di Dewan Boling Tianhe, Guangzhou itu.
Alex mengumpul 5,448 jatuhan pin dalam acara individu, berpasangan, trio dan lima sepasukan untuk mengatasi dua pemain Korea Selatan, Yong Kyu Choi dan Bok Eum Choi yang masing-masing meraih perak dan gangsa dengan 5,441 dan 5,431 jatuhan pin.

"Kejayaan memenangi pingat emas All Events memang cukup istimewa bagi diri saya. Begitupun, saya tetap kecewa apabila gagal meraih pingat emas dalam acara berpasukan.
"Apa pun saya kini mahu memberi tumpuan kepada acara Masters esok (hari ini) kerana saya dan Aaron Kong berjaya melayakkan diri.

"Susah nak cakap sama ada saya boleh meraih pingat emas dalam acara Masters.
"Keyakinan memang ada tetapi saya cuma harap dapat kekalkan mo- mentum terbaik ini," kata Alex ketika ditemui semalam.

Pada Rabu lepas, Alex menghadiahkan pingat emas ketiga kontinjen Malaysia menerusi gandingannya bersama Adrian Ang dalam acara berpasangan lelaki.
Bagi acara lima sepasukan semalam, Malaysia yang berjaya mendahului dalam tiga permainan awal pada blok pertama, memulakan permainan keempat dengan baik.
Namun, mereka gagal mengekalkan prestasi tersebut pada permainan kelima dan keenam, sekali gus terpaksa merelakan pingat emas menjadi milik Korea Selatan yang mengumpul keseluruhan 6,654 jatuhan pin.
Malaysia sekadar mengumpul 6,579 jatuhan pin manakala gangsa menjadi milik Hong Kong dengan 6,475 jatuhan pin.

Selain Alex, empat lagi pemain yang menganggotai skuad lima sepasukan lelaki negara itu ialah Adrian Ang, Aaron Kong, Nur Aiman Khairuddin dan Syafiq Ridhuan Abdul Malek.
Jurulatih boling negara, Holloway Cheah berkata: "Jika Alex dapat buat dou- ble strike dalam permainan terakhir, mungkin emas boleh jadi milik kita. Tetapi saya tahu mereka semua sudah buat yang terbaik.
"Apa pun saya tetap posi- tif untuk acara Masters lelaki dan wanita esok (hari ini). Jika pemain fokus sepenuhnya, emas tetap akan datang."

No comments:

Post a Comment