Thursday, July 3, 2014

Dua apit kiri senior digugur

KUALA LUMPUR - Dua apit kiri berpengalaman, Farhan Adam dan Syafiq Ab. Rahman digugurkan daripada skuad elit sepak takraw negara mulai semalam dalam persediaan menjelang Sukan Asia Incheon, September ini.

NORSHAHRUDDIN Mad Ghani (kiri) dalam 'senarai terancam' manakala Farhan Adam digugurkan daripada skuad pelatih Sukan Asia Incheon.

Kedua-duanya digugurkan atas alasan kemerosotan prestasi manakala enam lagi pemain termasuk ketua pasukan negara, Norshahruddin Mad Ghani kini diletakkan dalam 'senarai perlu dipulihkan' prestasinya.

Pelibas utama negara itu juga belum pulih sepenuhnya sejak tercedera ketika menyertai acara beregu di Sukan SEA Nay Pyi Taw, Myanmar pada Disember lalu.

Selain Norshahruddin, turut berada dalam senarai pemain yang perlu dipulihkan itu ialah Muhammad Idham Sulaiman, Muhammad Syahmi Husin, Mohammad Kamal Aizzat Azmi (tekong), Mohd. Shafirul Nizam Zainal (pelibas) dan Arif Mohammad (pengumpan).

Skuad elit kini cuma diisi oleh 23 pemain selepas ada di antaranya kerana tersisih akibat kecederaan, menarik diri atau digugurkan seperti Hamikhairi Roslan, Harryson Linggong, Mohamad Aswadi Mohammad Nor dan Khairul Anuar Ibrahim.

Enam regu negara bakal mengadakan siri perlawanan ujian dengan empat kelab tempatan dan dua dari Thailand di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil dari Ahad hingga 8 Julai ini.

Mereka kemudian berlepas ke Nay Pyi Taw bagi kem latihan dan perlawanan persahabatan dengan Myanmar dari 10 hingga 24 Julai.

Sekiranya keadaan politik Thailand sudah kembali stabil, skuad elit akan ke Bangkok bagi menyertai Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-29 mulai 8 Ogos.

Malaysia hanya menyertai acara berpasukan dan antara regu di Incheon sekali gus mengorbankan beregu, sejajar dasar kekangan penyertaan oleh Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf).

Hanya dua pingat perak dibawa pulang Malaysia daripada Sukan Asia Guangzhou 2010 manakala kali terakhir kita memenangi emas ialah di Hiroshima 1994.

No comments:

Post a Comment