Kuala Lumpur: Lukman Hakim Ramlan yang menjadi atlet pertama layak secara merit ke Sukan Asia tahun ini tidak perlu risau kerana Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan memastikan peserta lompat jauh itu mendapat perhatian sewajarnya.
Timbalan Presiden KOM Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, Lukman akan dipanggil dalam masa terdekat ini bagi membincangkan masa depannya.
Katanya, semangat ditunjukkan Lukman yang sanggup menangguhkan pelajarannya sementara waktu bagi memberi tumpuan kepada sesi latihan sesuatu yang patut dipuji.
“Tidak ramai atlet yang mempunyai semangat sedemikian. Semangat ditunjukkannya satu petanda positif, jadi kita perlu cepat dalam membuat perancangan untuknya. “Namun masa depan Lukman banyak bergantung kepada Pengarah Kejurulatihan baru, Robert J Ballard yang akan menentukan hala tujunya.
“Tapi perkara ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat minggu depan dan Lukman juga bakal dipanggil untuk membolehkan kami berbincang mengenai masa depannya,” katanya. Lukman melakarkan kejutan dengan menjadi atlet olahraga pertama melepasi syarat kelayakan ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan 18 September hingga 27 Oktober ini.
Melakarkan lompatan sejauh 7.53 meter, Lukman melepasi syarat kelayakan 7.52m untuk layak secara merit ke temasya kedua terbesar itu ketika beraksi pada temasya Sukan Institut Pengajian Tinggi (SUKIPT), minggu lalu.
No comments:
Post a Comment