MALAYSIA menerima khabar gembira dari Oman apabila tiga sukan - skuasy, bowling dan wushu - yang menyumbang enam daripada sembilan pingat emas kepada kontinjen negara di Sukan Asia Guangzhou 2010 kekal dipertandingkan di Incheon 2014.
Keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Olimpik Asia (OCA) dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Incheon (IAGOC) di Muscat, baru-baru ini yang menyaksikan bola lisut digugurkan.
Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, berkata keputusan itu bermakna 36 sukan akan dipertandingkan pada temasya edisi ke-17 itu - 28 sukan yang dipertandingkan di Olimpik dan lapan sukan bukan Olimpik.
“Kita mengalu-alukan keputusan OCA dan IAGOC itu kerana ketiga-tiga acara berkenaan (wushu, bowling dan skuasy) adalah sumber kekuatan kontinjen negara kerana konsisten dalam menyumbang emas,” katanya semalam selepas majlis penyampaian Skim Persaraan Atlit MOM-Carlsberg kepada pemenang emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 dan Sukan Asia Guangzhou 2010 di Wisma MOM yang turut dihadiri Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar.
No comments:
Post a Comment