|
JADI KEBANGGAAN... Suryani meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter Air Rifle wanita individu pada temasya Sukan Asia 2010 di Lapang Sasar Aoti, Guangzhou semalam. |
PENEMBAK negara, Nur Suryani Mohamed Taibi bukan sahaja muncul penyumbang pingat pertama kontinjen Malaysia pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China semalam.
Malah pingat gangsa yang diraih Suryani dalam acara 10 meter Air Rifle wanita individu itu berjaya menamatkan kemarau 36 tahun skuad negara tanpa pingat dalam acara menembak pada temasya tersebut.
Kali terakhir Malaysia memenanginya ialah menerusi Ally Ong, Edmond Yong Stanley Lim dan Yap Pow Thong dalam acara skeet pada Sukan Asia 1974 di Tehran.
Suryani, 28, yang mengumpul 501.8 mata pada saingan final terpaksa akur dengan kehebatan dua penembak China, Yi Siling dan Wu Liuxi yang masing-masing mencatat 504.9 dan 502.8 mata untuk meraih pingat emas dan perak.
"Pada awalnya, memang saya tak letak sasaran untuk berjaya meraih pingat dalam acara ini.
"Bagi saya, ini satu kejutan yang tidak disangka-sangka," kata Suryani ketika ditemui di Lapangan Menembak Aoti semalam.
Ditanya apakah perasaannya apabila berjaya menjadi penyumbang pingat pertama untuk kontinjen Malaysia, Suryani berkata: "Syukur alhamdulillah. Saingan Sukan Asia bukan mudah kerana ia menampilkan ramai jaguh dunia."
Dalam pada itu, Malaysia gagal meraih sebarang pingat dalam acara 10m Air Rifle wanita berpasukan setelah Suryani, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim dan Shahera Rahim Raja gagal mencatat pungutan mata yang baik pada pusingan awal.
Trio negara itu sekadar berada di tangga ke-13 apabila mengumpul 1,166 mata dengan Suryani mencatat 397 mata, Ayuni (379) dan Shahera (390).
Ayuni, 20, yang diharap mampu menghadirkan sesuatu pada temasya Sukan Asia gagal beraksi baik kerana mengalami masalah kesihatan sebaik tiba di Guangzhou.
"Saya kurang sihat. Badan agak lesu dan saya mengalami sakit kepala sejak sebelum turun beraksi lagi.
"Ketika di lapangan, terdapat pula gangguan dari pegawai teknikal dan ia telah mengganggu terus fokus saya," kata Ayuni.
Pada Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India bulan lalu, gandingan Suryani dan Ayuni berjaya meraih pingat emas dalam acara 10m Air Rifle wanita berpasangan.
Kosmo
No comments:
Post a Comment