Tuesday, November 9, 2010

Nur Ayuni makin membara


NUR AYUNI (kanan) dan Nur Suryani menyumbang emas dalam acara 10m Air Rifle pada Sukan Komanwel di New Delhi bulan lalu.


INSENTIF RM80,000 yang diterima penembak negara, Nur Ayuni Farhana Abdul Halim menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) kelmarin memberi lonjakan semangat kepadanya untuk tampil lebih bergaya pada Sukan Asia di Guangzhou, China minggu depan.

Nur Ayuni, 19, menunjukkan prestasi cemerlang pada Sukan Komanwel di New Delhi bulan lalu apabila meraih emas dalam acara 10 meter Air Rifle berpasangan wanita, bergandingan dengan Nur Suryani Mohamed Taib.

Dia turut merangkul pingat perak menerusi kategori individu dalam acara yang sama.
"Alhamdullilah atas imbuhan yang saya terima. Rasanya berbaloilah pengorbanan saya selama ini, tak boleh cuti, tak boleh balik rumah.

"Insentif ini juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk memberikan yang terbaik pada Sukan Asia nanti," katanya kelmarin.

Bagaimanapun Nur Ayuni berkata, dia akan lebih memberi tumpuan untuk mengatasi rekod terbaiknya iaitu 397 mata yang dicatat pada Kejohanan Dunia di Jerman tahun lepas, berbanding memburu pingat.
"Sukar untuk menyasarkan pingat (pada Sukan Asia) kerana saingan memang hebat terutama daripada penembak China, Korea dan Jepun," katanya.

Tujuh penembak negara termasuk Nur Ayuni menerima insentif Shakam berjumlah RM340,000, hasil kejayaan pasukan tersebut membawa pulang tiga pingat emas, empat perak dan tiga gangsa pada Sukan Komanwel di New Delhi, Oktober lalu.

Nur Ayuni yang kini menjalani la- tihan di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram), akan berlepas bersama pasukan menembak kebangsaan ke China pada Rabu depan.
Seramai 15 penembak menggalas cabaran negara pada temasya Sukan Asia kali ini.



Kosmo

No comments:

Post a Comment