Tuesday, November 9, 2010

Noraseela tetap ke Guangzhou

PENYERTAAN ratu 400 meter lompat berpagar, Noraseela Khalid (gambar) di Sukan Asia tidak sepatutnya menjadi bahan pertikaian apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengesahkan tiket ke Guangzhou tetap menjadi milik atlet berkenaan.
“Saya tidak tahu mengapa cerita seperti ini timbul tetapi Noraseela akan ke Guangzhou,” kata Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi.

Jelasnya, nama Noraseela sudah dihantar Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) sejak Jun lalu tetapi tidak bagi atlet lontar peluru, Tan Song Hwa yang namanya langsung tidak sampai ke meja MOM sehingga ke tarikh akhir pada 1 November lalu.
“Mustahil untuk menyertakan nama mana-mana atlet sekiranya persatuan tidak menghantar nama mereka. Sudah terlewat untuk melakukannya sekarang,” katanya.

Kok Chi berkata, KOAM setuju menghantar Noraseela dengan syarat mesti bebas daripada kecederaan.

“Biarpun keputusannya tidak bagus dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, hujung minggu lalu dengan catatan 58.23 saat tetapi dia membuktikan sudah kembali pulih.

“Lainlah jika dia mencatat masa lebih buruk atau tiba-tiba mengalami kecederaan, sudah tentu dia perlu menarik diri daripada Sukan Asia,” katanya yang turut menganggap pemenang pingat gangsa Sukan Asia Doha itu sebagai taruhan terbaik negara ketika ini.

Walaupun menang pingat emas di kejohanan itu, Noraseela gagal melepasi had kelayakan 56.85s, sekali gus pada logiknya sudah gagal menyertai Sukan Asia

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong turut berang apabila nama Noraseela dikatakan tercicir sedangkan sebelum ini, atlet berkenaan sudah disahkan dalam kontinjen olahraga negara.

“Saya difahamkan KOAM tidak menghantar nama Noraseela untuk bertanding dalam Kategori B sehingga ke minit terakhir biarpun Presiden KOAM sendiri, Datuk Seri Shahidan Kassim mengakui senarai nama atlet sudah dihantar,” katanya.

Noraseela menyertai kumpulan kecil kontinjen olahraga negara ke Sukan Asia bersama Lee Hup Wei (lompat tinggi), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan kuartet 4x100m wanita (Siti Zubaidah Adabi, Norjannah Hafiszah Jamaludin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Yee Yi Ling.

 Metro

No comments:

Post a Comment