KUARTET 4x100m wanita negara yang diwakili (dari kiri) Nor Jannah, Siti Zubaidah, Nurul Sarah dan Yi Ling layak ke final.
KUARTET 4x100 meter wanita negara mara ke final Sukan Asia 2010 sete- lah menduduki tempat keempat pada saingan separuh akhir di Stadium Utama Aoti malam tadi.
Siti Zubaidah Adabi, Nor Jannah Hafizah Jamaludin, Yee Yi Ling dan Nurul Sarah Abdul Kadir hampir memecah rekod kebangsaan apabila mencatat 45.50 saat bagi melayakkan diri selaku lapan kuartet terbaik ke final, Jumaat ini.
Sebelum ini, rangkaian pelari 4x100m negara ini berjaya mencipta rekod baru kebangsaan apabila mencatatkan masa 45.33 saat pada Grand Prix (GP) Poland, Julai lalu.
Rekod lama adalah 45.37 saat yang dicatat Anita Ali, G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Dr. Mumtaz Jaafar pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.
Namun, Siti Zubaidah dan tiga rakannya itu yakin bahawa mereka mampu untuk memperbaharui rekod 45.33 saat itu pada aksi final nanti.
"Catatan 45.50 saat ini agak baik sebenarnya. Apabila sudah merasai suasana sebenar di stadium hari ini (semalam), saya rasa kami mampu lakukan yang lebih di final kelak," kata Siti Zubaidah ketika ditemui malam tadi.
Bagaimanapun, kuartet wanita negara itu sedikit cemas apabila pelari pertama, Yi Ling diberi dua kali amaran kerana dikata- kan telah melakukan kesilapan di garisan permulaan.
"Saya tidak melakukan kesilapan, pistol yang tak berbunyi sebenarnya. Memang kali ketiga itu saya risau jika penyertaan kami akan dibatal.
"Mujur kami berjaya meneruskan larian dan layak ke final. Kami akan cuba untuk memecahkan rekod kebangsaan pada final nanti," ujar Yi Ling.
Barisan kuartet wanita itu juga tidak menganggap berlari pada waktu malam dalam keadaan cuaca dingin sebagai suatu masalah besar.
Pada saingan separuh akhir pertama semalam, empat kuartet yang layak ke final adalah Thailand, Vietnam, India dan Hong Kong manakala separuh akhir kedua menyaksikan kuartet Jepun, China, Sri Lanka dan Malaysia.
Sementara itu, bagi saingan hari ini, dua atlet negara akan turun beraksi iaitu Noraseela Khalid dalam acara saringan 400m lari berpagar wanita (9.32 pagi) dan Roslinda Samsu dalam final acara lompat bergalah wanita pada pukul 5 petang.
No comments:
Post a Comment