Monday, November 29, 2010

Kecewa olahraga pulang tangan kosong


Ahmad Shabery melihat pingat emas yang dimenangi oleh dua atlet negara dalam acara karate pada Sukan Asia XVI, Puvaneswaran (kanan) dan Ku Jin Keat ketika kedua-dua atlet negara itu tiba di KLIA, Sepang, semalam.


SEPANG - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyeru satu pemulihan besar-besaran terhadap olahraga negara selepas melahirkan rasa kecewanya dengan kegagalan atlet olahraga membawa pulang sebarang pingat Sukan Asia XVI Guangzhou, yang berakhir kelmarin.

Katanya, hanya disebabkan kegagalan itu, kontinjen negara terpaksa berpuas hati untuk berada di belakang Thailand, yang lebih menyerlah dengan atlet olahraga mereka memintas Malaysia untuk bergelar yang terbaik di kalangan negara Asia Tenggara di Guangzhou.

"Prestasi olahraga kita mengecewakan dan satu pendekatan baru, rombakan, bedah siasat mahupun pemulihan segera perlu dibuat kerana maruah kita tercabar apabila Thailand memintas kita dalam pungutan pingat Sukan Asia menerusi sukan itu. Sepatutnya kitalah yang terbaik Asia Tenggara," katanya.

Beliau ditemui setibanya kontinjen negara yang diketuai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan skuad karate di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini daripada Sukan Asia Guangzhou, semalam.

Ahmad Shabery berkata, beliau juga akan mengarahkan satu pembentangan keseluruhan laporan prestasi kontinjen negara dalam satu mesyuarat pengurusan MSN dalam masa terdekat bukan sahaja bagi Sukan Asia bahkan Sukan Komanwel Delhi, Oktober lalu.

"Umumnya saya berpuas hati dengan pencapaian mereka, tetapi kita perlu memikirkan bagaimana untuk menyiapkan atlet kita selepas ini malah sudah boleh melihat Sukan Asia 2014 apatah lagi mungkin ada sukan prospek pingat kita, tidak akan dipertandingkan lagi di Incheon.

"Kita juga mesti melihat bahawa kita tidak boleh bergantung kepada satu dua sukan kerana Sukan Asia dan Komanwel Delhi lalu membuktikan bahawa kita cukup bertuah apabila sukan yang bukan dalam sasaran besar, berjaya membantu menampung kegagalan yang lain.

"Masih ada sukan yang tidak menjadi contohnya memanah kerana dulu disandarkan harapan besar, tetapi gagal ketika Komanwel dan Sukan SEA 2009.

''Kita akan kaji sama ada gugurkannya terus atau salurkan sahaja peruntukannya yang terhad itu kepada sukan menembak yang mampu bersaing dengan China di Guangzhou.
"Terjun juga membuahkan prestasi yang luar biasa walaupun ia banyak mengutip perak kerana pada temasya ini, sebarang pingat berkenaan masih seolah-olah sudah mencapai taraf Olimpik malah memandangkan kita dulu asyik bergantung kepada badminton sahaja," katanya.



Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment