Friday, November 12, 2010

Hoki wanita intai empat terbaik


YAHYA (kiri) memberi kata-kata semangat kepada anak-anak buahnya selepas sidang media di Guangzhou semalam.


SKUAD hoki wanita negara meletakkan sasaran untuk menduduki empat tangga teratas pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.
Jurulatih skuad hoki wanita negara, Yahya Atan berkata, kegagalan anak-anak buahnya pada Sukan Komanwel di New Delhi, India bulan lalu telah di- jadikan pengajaran berguna untuk mereka bangkit semula di bumi Guangzhou.

"Selepas keputusan agak menyedihkan di New Delhi, kita telah menggiatkan latihan apabila pulang ke Kuala Lumpur dan memperbaiki kelemahan terutama pukulan sudut penalti dan menghasilkan gol padang.
"Kita telah buat analisis prestasi di New Delhi dan ternyata masalah utama kita adalah kurangnya naluri untuk menjaringkan gol di kalangan jentera serangan serta kegagalan menyudahkan pukulan sudut penalti.
"Mungkin satu rahmat apabila kita gagal pada Sukan Komanwel. Ia telah memberi pengajaran berguna kepada pasukan.


"Jadi untuk saingan Sukan Asia, saya yakin kita mampu menduduki empat tangga teratas," kata Yahya semalam.
Pada temasya di New Delhi, skuad hoki wanita menduduki tangga tercorot Kumpulan B setelah hanya menang 3-2 ke atas Kanada sebelum tewas kepada New Zealand (0-5), Wales (1-2) dan England (0-3).
Pada perlawanan penentuan tempat kesembilan dan ke-10, Malaysia tewas 1-2 kepada Trinidad & Tobago, sekali gus menamatkan saingan di tangga tercorot.

Bagi saingan Sukan Asia, Malaysia akan bertemu India pada perlawanan pertama malam esok sebelum bertemu Jepun (14 November), Korea Selatan (16 November), China (17 November), Kazakhstan (19 November) dan Thailand (22 November).
Jika berjaya menamatkan saingan di tempat keempat pada saingan secara liga sepu- singan itu, Malaysia berpeluang untuk beraksi bagi penentuan pingat gangsa.

"Jika mengikut ranking Asia, kita di tangga kelima di belakang China, Korea Selatan, Jepun dan India.
"Bagaimanapun, kita cuba menduduki tempat keempat bagi mengatasi pencapaian tempat kelima di Sukan Asia 2006 di Doha," tambah Yahya.

Yahya akan mempertaruhkan Norbaini Hashim, Rabiatul Adawiyah Mohamed dan Fazilla Sylvester Silin di bahagian serangan manakala set piece pukulan sudut penalti bakal dilakukan Norfaraha Hashim, Catherine Lambor, Nuraini Abdul Rashid dan Juliani Mohamad Din.

Pemain tengah, Nadia Abdul Rahman pula diberi kepercayaan menggalas cabaran sebagai kapten pada temasya kali ini.

Kosmo

No comments:

Post a Comment