Tuesday, November 2, 2010

Elaine yakin bawa pulang pingat


ELAINE yakin menang pingat.


ATLET taekwondo negara, Elaine Teo secara peribadi mensasarkan satu pingat tanpa warna pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou walaupun mengetahui dia akan ditentang hebat terutama oleh atlet tuan rumah.

"Walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar namun saya yakin untuk membawa pulang pingat.
"Bagaimanapun, ia juga bergantung kepada prestasi saya pada kejohanan itu kelak," katanya.

Elaine, 29, yang berasal dari Bukit Cina, Melaka berkata, persiapan untuk ke Sukan Asia dibuat rapi di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, R. Dhanaraj.

"Kami baru sahaja pulang dari Korea Selatan pada Sabtu lepas setelah mengadakan latihan intensif bersama atlet negara tersebut. Ketika berada di sana, kami telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan sambil belajar.

"Latihan selama dua minggu yang didedahkan secara tidak langsung dapat memperbaiki prestasi kami sebelum beraksi di Guangzhou nanti," katanya.
Elaine berkata, pencapaian terbaiknya adalah pada temasya Olimpik di Athens (2004) dan Beijing (2008) kerana berjaya layak ke temasya terbesar itu.

"Saya berjaya melepasi kelayakan secara merit pada dua temasya Sukan Olimpik iaitu di Athens dan Beijing dan meraih tempat ketujuh di China tapi gagal melepasi saingan awal di Greece," katanya.
Seramai enam atlet terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita akan menyertai temasya di Guangzhou yang berlangsung dari 12 hingga 27 November ini.

Atlet wanita terdiri daripada Elaine Teo (47-49 kg), Nurul Asfahlina Johari (bawah 47 kg) dan Nurul Nadia Mahamat (49-53 kg) manakala atlet lelaki dibarisi Rusfredy Tokan Petrus (54-58 kg), Mohd. Affifuddin Omar Sidek (62-68 kg) dan Ryan Chong Wy Lunn (59-63 kg).


Kosmo

No comments:

Post a Comment