"SAYA tidak tertekan. Mengapa saya perlu tertekan!" tegas Chef de Mission kontinjen negara, Datuk Zolkples Embong menjelang 10 hari Sukan Asia XVI Guangzhou disingkap tirainya.
Beliau mengulas sama ada pencapaian gemilang kontinjen negara di Sukan Komanwel New Delhi XIX, bulan lalu meletakkan tekanan kepada dirinya dan kontinjen negara mengulangi pencapaian sama di Guangzhou.
Apa lagi, pemergiannya ke Guangzhou bukan saja atas kapasiti sebagai Chef de Mission kontinjen negara tetapi juga selaku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang menyediakan program latihan dan persiapan atlit.
“Saya akui amat gembira dengan pencapaian atlit di Sukan Komanwel tetapi mengapa kita perlu tertekan dengan pencapaian itu ketika berdepan dalam satu lagi pertandingan besar di Guangzhou.
“Sebaliknya, saya mahu atlit menjadikan pencapaian di New Delhi itu sebagai rangsangan terbaik untuk mengulanginya walaupun taraf saingan Sukan Asia diakui lebih getir dan mencabar,” katanya.
Bercakap selepas meninjau latihan skuad sepak takraw negara, Zolkples juga yakin temasya Guangzhou yang hanya berselang kira-kira sebulan selepas New Delhi tidak akan menjejaskan rentak atlit.
Pada temasya kali ini, kontinjen negara yang akan bertanding dalam 29 daripada 42 sukan yang dipertandingkan mensasar mengutip sekurang-kurangnya sembilan emas - mengatasi pencapaian lapan emas di Doha, empat tahun lalu.
Pada temasya Sukan Komanwel di New Delhi bulan lalu, kontinjen negara pimpinan Tan Sri Abdul Halil Mutalib yang juga Presiden Persatuan Memanah Malaysia membawa pulang 12 emas, mengatasi sasaran 10 emas ditetapkan.
No comments:
Post a Comment